Siakap Keli
Gambar hiasan Via Google

Turkmenistan Dilaporkan Akan Tahan Warga Pakai ‘Face Mask’, Larang Sebut Koronavirus

Turkmenistan dilaporkan telah mengharamkan media di negaranya menggunakan perkataan ‘koronavirus’ serta mengancam untuk menahan rakyatnya yang memakai topeng muka, lapor Daily Mail.

Sebuah kumpulan wartawan yang dikenali sebagai Reporters Without Borders berkata bahawa sesiapa sahaja yang didapati bercakap tentang koronavirus boleh ditangkap oleh pihak polis di negara itu.

Sebuah stesen radio Turkmenistan juga mendakwa bahawa ejen-ejen khas telah dikerahkan di tempat-tempat awam untuk mencari orang yang berbual berkenaan wabak tersebut.

Bekas negara Soviet itu juga mendakwa bahawa negara mereka masih lagi bebas daripada virus tersebut walaupun berjiran dengan Iran yang setakat ini telah melaporkan lebih daripada 44,000 kes jangkitan.

Media milik negara itu dilaporkan tidak pernah membuat liputan berkenaan topik pandemik koronavirus atau menyebut tentang apa-apa langkah pencegahan yang diambil di negara tersebut. Perkara ini dipercayai untuk menafikan bahawa wabak ini wujud di negara tersebut.

Reporters Without Borders juga menyatakan bahawa perkataan ‘coronavirus’ telah dikeluarkan daripada risalah informasi kesihatan yang diedarkan di sekolah-sekolah, hospital dan pejabat.

“Media yang dimiliki oleh negara itu tidak lagi dibenarkan menggunakan perkataan tersebut,” ujar seorang pemberi maklumat.

Presiden autokrat Gurbanguly Berdymukhamedov sebelum ini telah memberitahu kepada pegawai-pegawainya untuk ‘fumigate’ penduduk dengan membakar harmala, iaitu sejenis herba tempatan.

Dengan cara itu, ianya dapat membunuh virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, jelasnya tanpa menyebut Covid-19.

Radio Azatlyk, sebuah stesen radio berbahasa Turkmenistan, mendakwa bahawa ejen keselamatan yang tidak beruniform telah dikerahkan untuk menangkap orang awam yang berbual berkenaan koronavirus.

“Ejen tersebut akan menyamar dan mencuri dengar perbualan orang awam di tempat hentian bas, dalam bas dan tempat-tempat awam,” ujar stesen radio tersebut.

Walau bagaimanapun, kerajaan Turkmenistan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan melanjutkan tempoh cuti sekolah tanpa memberitahu sebabnya kepada rakyat.

Pelanggan bank di Ashgabat turut diberikan tisu basah dan semburan disinfektan untuk disemburkan di mulut mereka.

Suhu badan juga diperiksa di kawasan-kawasan hentian bas dan kenderaan dibersihkan dengan semburan larutan klorin.

Sungguhpun langkah sepatutnya itu telah diambil, namun kerajaan masih lagi tidak melarang perhimpunan awam.

Kerajaan Turkmenistan mendakwa bahawa negaranya itu adalah salah satu tempat terakhir yang masih bebas daripada virus maut di muka bumi ini.

Selain daripada negara itu, kepulauan Pasifik, beberapa negara Afrika serta pusat penyelidikan di Antartika juga turut dilaporkan masih lagi bebas daripada wabak pandemik Covid-19.

Korea Utara juga turut mendakwa bahawa negara mereka masih lagi tidak mempunyai sebarang kes walaupun bersempadan dengan China dan Korea Selatan yang telah merekodkan jumlah kes dan kematian yang agak tinggi.

Disenaraikan di kedudukan terakhir dalam World Press Freedom Index 2019, Turkmenistan adalah salah satu negara yang paling tertutup di dunia, lapor Reporters Without Borders.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa