Siakap Keli

Kes Positif Covid-19 Bertambah Ke 1,049 Di Singapura, 266 Pesakit Sudah Pulih

SINGAPURA, 2 April – Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan tambahan 49 kes jangkitan COVID-19 di republik itu dengan tiga daripadanya membabitkan rakyat Malaysia.

Kes baharu terbabit, yang terdiri daripada lapan kes import dan 41 kes tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 1,049, menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Tiga rakyat Malaysia yang dijangkiti merupakan pemegang Pas Kerja Singapura dan dua daripadanya menjadi kes import dengan sejarah perjalanan masing-masing ke UK dan India manakala satu lagi adalah kes tempatan yang dikaitkan dengan kluster Pusat SingPost.

Singapura turut mengenal pasti tiga lagi kluster baharu yang terdiri daripada pusat membeli-belah Mustafa Centre di Jalan Syed Alwi; tapak pembinaan di stesen MRT Maxwell di Jalan Neil dan Limbungan Kapal Keppel, Pioneer Sector 1.

Selain kluster baharu, ia melaporkan dua lagi kes daripada sektor penjagaan kesihatan awam membabitkan seorang atendan penjagaan kesihatan di Institut Kesihatan Mental dan seorang kontraktor yang bekerja memasang kemudahan tandas di Hospital Besar Sengkang.

Mengulas perkembangan terkini kes yang telah sembuh, MOH berkata 21 lagi pesakit COVID-19 dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 266 orang.

Daripada sejumlah 464 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala 23 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, 315 kes yang sihat secara klinikal namun masih diuji positif bagi COVID-19 diasing dan dirawat di Hospital Antarabangsa Concord, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Gleneagles serta Kemudahan Isolasi Komuniti di D’Resort NTUC.

Satu lagi kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak itu setakat ini ialah empat orang.

Setakat 12 tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 14,952 kontak rapat yang telah dikuarantin.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)