Siakap Keli

Lebih 6,000 Kilogram Sisik Tenggiling Afrika Seludup Berjaya Dirampas Kastam

PIHAK Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup sisik tenggiling berjumlah kira-kira 6,160 kilogram, dianggarkan bernilai RM78 juta dalam satu operasi di Pelabuhan Klang pada Selasa.

Menurut laporan TRAFFIC, rampasan sisik tenggiling tersebut adalah yang terbesar di Malaysia setakat ini, di mana rekod terdahulu, rampasan sisik haiwan yang sama sebanyak lebih dua tan pada September 2017 lalu.

Pegawai penguatkuasa JKDM dari Unit 2, Zon Tengah menjumpai ‘stok’ sisik tersebut di dalam sebuah kontena berukuran 20 kaki yang disorok di sebalik timbunan karung-karung kacang gajus – modus operandi yang biasa digunakan penyeludup dalam penghantaran (kapal) untuk menyeludup gading serta sisik tenggiling.

“Pengimport dan ejen yang terlibat dalam penghantaran itu sedang disiasat,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Difahamkan, tiada tangkapan telah dibuat setakat ini.

“Dalam masa negara sedang menumpukan perhatian pada pandemik COVID-19, orang-orang di sebalik penyeludupan ini mungkin menyangka mereka terselamat daripada pihak kastam, tapi mereka sendiri ditangkap,” kata Kanitha Krishnasamy, Pengarah TRAFFIC Asia Tenggara.

Gambar: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia
Gambar: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia

Sumber: TRAFFIC, Bernama

 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.