Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

PKP: Tempoh Mencabar Untuk Petugas Barisan Hadapan Dengan Anak Autisme

KUALA TERENGGANU, 3 April  — Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 yang bermula pada 18 Mac lepas, ternyata mengubah rutin harian semua rakyat Malaysia termasuk golongan istimewa, iaitu anak-anak autisme yang perlu mematuhi arahan PKP dan sentiasa berada di rumah.

Bagi ibu bapa kepada anak autisme, tempoh pelaksanaan PKP sangat mencabar dan menguji kesabaran, dalam memenuhi kehendak dan terpaksa ‘menghalang’ rutin harian yang biasa dilakukan oleh anak istimewa mereka, namun paling mencabar adalah apabila kedua ibu bapa merupakan petugas barisan hadapan yang perlu keluar bertugas.

Itulah yang perlu dihadapi pasangan suami isteri DSP Md Aruwan Md Amilah, 41, dan Sarjan Normala Hashim, 33, kerana sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka berdua tetap perlu keluar bekerja sebagai barisan hadapan negara, dan pada masa sama memastikan kebajikan anak austime mereka, Muhammad Ammar Mikhail yang berusia enam tahun, dijaga dengan baik.

Md Aruwan berkata, anak kedua dari tiga beradik itu disahkan ASD (gangguan spektrum austime) dan masih belum boleh bertutur dengan baik, dan ini menyebabkan beliau dan isterinya menghadapi sedikit masalah dalam memahami kehendak anak istimewa itu, walaupun hubungan mereka sangat akrab.

“Memang nampak juga dia seperti tidak senang duduk kerana tidak boleh pergi ke sekolah (Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Dungun)…mungkin rindu dengan kawan atau guru di sana, namun dia tidak pandai meluahkan perasaan itu.

Kebiasaannya, rutin harian dia selepas habis belajar di PPDK pada 12 tengah hari, akan singgah kedai runcit untuk beli gula-gula…kemudian sampai di rumah, dia akan buka semua pakaian untuk main air paip, dan setiap kali kami balik kerja, kami akan bawa dia ronda-ronda naik motor di kawasan sekitar. Namun, semua aktiviti itu terpaksa dihentikan sepanjang PKP…hanya aktiviti bermain air sahaja boleh dilakukan ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Walaupun berasa sayu dan kasihan melihat anak mereka agak sunyi tanpa aktiviti rutin harian yang  biasa dilakukan, namun pasangan ini tegas mematuhi PKP dalam memastikan keselamatan anak tersayang dan cuba melayannya dengan lebih kerap, dengan aktiviti bersama dua lagi anak yang lain iaitu Nuradreana Meldalisa, 9 dan Nur Airis Medina yang berusia setahun.

Md Aruwan berkata anaknya itu akan menangis hampir 30 minit, setiap kali melihat beliau keluar rumah (untuk bekerja atau membeli barangan keperluan) kerana masih kecil dan belum memahami situasi semasa sepanjang tempoh PKP berlangsung.

“Kami hanya mampu memujuk dengan membelikan makanan atau barang permainan kesukaannya dan cuba menggembirakan hatinya dengan memberi layanan terbaik sepanjang berada di rumah…ibu bapa mana yang sanggup melihat anak menangis kerana tidak dapat ikut keluar seperti biasa.

“Apatah lagi sebagai anggota polis, kami perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat Malaysia yang lain, agar bersama-sama mengorbankan rutin kegemaran untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini secepat mungkin,” katanya yang bersyukur kerana anak saudara isterinya yang berusia 19 tahun akan membantu menjaga Muhammad Ammar Mikhail, ketika beliau dan isteri keluar bekerja.

Berlainan pula dengan jurulatih kawad di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun Sarjan Mohd Amir Azrin Mohd Azaha, 37, dan isterinya Normah Mamat, 37, seorang jururawat di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, yang mengalami kesukaran kerana tiada orang yang menjaga anak austime mereka iaitu Mohammad Aqil Rayan yang berusia 12 tahun, sepanjang PKP dilaksanakan.

Mohd Amir Azrin berkata, anaknya itu belajar di PPDK Kampung Baru Kuala Abang namun ia tidak beroperasi sepanjang PKP dan beliau terpaksa membuat permohonan kepada majikan untuk kelonggaran waktu bekerja, bagi menjaga Aqil ketika isterinya bertugas.

“Mujurlah pihak pengurusan memahami kesukaran yang saya hadapi, jadi waktu bekerja yang agak fleksibel ini membolehkan saya memantau Aqil, dan isteri pula dapat memberi fokus untuk merawat pesakit tanpa risaukan keselamatan anak austime kami,” katanya.

Ditanya cabaran lain pula, Mohd Amir Azrin berkata anak sulung dari tiga beradik itu sangat menggemari tomyam dan masalah yang timbul sepanjang PKP ialah, kedai tomyam kegemarannya tidak lagi beroperasi seperti biasa.

“Jadi kami perlu menyediakan hidangan tomyam lebih kerap, namun adakalanya tidak memenuhi selera Aqil, terpaksa kami ikutkan kehendak lain, sama ada Aqil mahukan burger atau kentang goreng untuk dimakan.

“Cuma saya bernasib baik, kerana Aqil seorang anak yang memang suka berada dalam rumah, hanya sesekali sahaja dia sebut hendak ke pantai dan taman permainan. Dia tidak faham larangan PKP, cuma Aqil mudah dipujuk dan akur, apabila kita maklumkan tidak boleh ke pantai dan taman permainan kerana bimbang jangkitan COVID-19,” katanya.

Lebih menarik apabila Aqil juga memahami tentang bahaya COVID-19, tanda simptom jangkitan dan menulis doanya di kertas, agar Malaysia bebas daripada wabak itu secepat mungkin dan merakam video menasihatkan rakyat Malaysia agar kekal berada di rumah.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story