Siakap Keli
Kredit: Google/The Guardian/Euro News

(Video) “Jangan Keluar, Tak Berbaloi”, Dari Katil Hospital, Pesakit COVID-19 Beri Amaran Buat Orang Ramai

Biarpun kebanyakan rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mengingkarinya.

Tindakan mementingkan diri ini boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain kerana virus boleh tersebar tanpa kita sedar, hatta tanpa sebarang simptom.

Justeru, kita perlu sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan kerajaan serta menjaga kesihatan bagi mengelakkan diri dari dijangkiti. Sedarlah bahawa virus COVID-19 ini bukan sekadar demam biasa, ia boleh membunuh tidak kira tua atau muda, kata salah seorang daripada pesakit koronavirus.

Berikut ialah pesanan, luahan dan amaran daripada pesakit COVID-19 ketika sedang dirawat untuk peringatan bersama.

“Jangan keluar, ia tak berbaloi”

Karen Mannering, 39 berkata, dia mengalami jangkitan pada kedua-dua belah paru-paru dan telah jatuh sakit selama dua minggu.

“Saya berjuang untuk diri saya dan anak saya,” kata wanita yang sarat mengandung itu.

“Saya ada tiga orang anak di rumah dan suami yang saya tak boleh jumpa. Jangan keluar, ia tak berbaloi,” pesannya.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=2&v=kAUt29LxcO0&feature=emb_logo

“Jangan ambil risiko”

Dengan dua jarum branula di kiri dan kanan tangannya, Tara Jane Langston, 39 berpesan kepada orang ramai agar tidak mengambil sebarang risiko dan membahayakan diri.

“Sesiapa yang berfikir untuk ambil risiko, lihatlah saya. Saya di unit rawatan rapi (ICU), saya tak boleh bernafas tanpa alat ini,” katanya yang tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.

“Tolong jangan ambil risiko, saya maksudkannya. Kerana jika ia jadi terlalu teruk, anda akan berakhir di sini. Jangan ambil risiko,” pesannya berkali-kali dengan suara terhenti-henti.

https://www.youtube.com/watch?v=CMmsscVN-js

“Saya tak kenal sesiapa yang positif COVID-19”

Erin Leigh, 38 berkata, dia tidak tahu dari mana virus itu menjangkitinya. Malah, dia tidak mengenali sesiapa yang mempunyai virus itu. Perlu memakai alat bantuan pernafasan, dia mengalami batuk dan kesukaran bernafas akibat virus tersebut.

“Saya tak pernah alami penyakit seperti ini dalam hidup saya,” katanya. Ketika ditanya dari mana dia mendapat virus itu, dia sendiri tidak mengetahuinya.

“Saya tidak pernah ke luar negara, tak pernah berada hampir dengan sesiapa yang pernah bercuti dan saya tak kenal sesiapa yang disahkan positif COVID-19,” jawabnya ketika ditanya wartawan pada minit ke 1:40.

https://www.youtube.com/watch?v=yr2GnZo2KiA

Tambah Erin, virus tersebut tidak boleh dijangka. Ia boleh menjangkiti seseorang dengan teruk dalam tempoh yang singkat, tak kira umur atau latar belakang kesihatan.

“Tolong dengar perintah kerajaan untuk hentikan penularan virus ini kerana satu orang boleh menjangkiti ramai yang lain,” katanya.

Dia juga berkata, mereka sendiri tidak mempunyai jawapan terhadap apa yang pesakit-pesakit COVID-19 bakal lalui setelah pulih dari jangkitan itu.

“Koronavirus ini ingin membunuh kamu”

Marc McClurg, 40 yang disyaki positif koronavirus berkata, virus ini ingin membunuh manusia dengan mengambil nyawa mereka.

Katanya, jangan fikir ia sekadar demam dan batuk biasa yang anda alami.

“Koronavirus ini boleh mematikan dan berbahaya. Ia ingin membunuh kamu dan merenggut nyawa dari peparumu supaya kamu tak boleh bernafas.

“Saya bersyukur saya hidup hari ini.

“Jangan fikir ia tak akan sentuh anda. Jangan sesekali fikir begitu. Lihat pada saya dan dengar, jika anda terkena koronavirus, anda akan ke ICU dan sukar bernafas.”

Tambahnya, orang ramai perlu patuh dan menjaga jarak sosial bagi melindungi petugas kesihatan yang menjadi benteng pertahanan masyarakat kini.

“Lakukan bahagian anda dengan duduk di rumah,” katanya.

https://www.youtube.com/watch?v=3eBA10pS9fM&feature=emb_logo

“Hidup saya tunggang terbalik”

Seorang pesakit koronavirus di negara kedua paling teruk dilanda wabak, Itali berkata hidupnya berubah setelah dijangkiti virus itu.

“Hidup saya tunggang terbalik. Saya harap tiada sesiapa perlu melalui apa yang saya lalui kerana ia mungkin seperti filem horror tapi ia bukan.”

Video pesakit tersebut bermula pada minit 5:45.

https://www.youtube.com/watch?v=_KfilpOdRYc

Sumber: The Guardian, Euro News

Amira

Love yourself.