Siakap Keli
Gambar: Bernama

Keadaan Pasar Awam Di Daerah Timur Laut, George Town Semakin Baik Dan Terkawal

Keadaan semua pasar awam di daerah Timur Laut yang sebelum ini dibanjiri dengan kehadiran pengunjung sehingga berlaku kesesakan lalu lintas kini semakin baik dan terkawal pada hari ke-18 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata keadaan di kawasan itu bertambah baik berbanding sebelum ini hasil beberapa langkah yang telah diambil oleh pihaknya bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang selain pemantauan dan rondaan polis dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, pihak pengurusan pasar awam terutama tiga pasar yang memang menjadi tumpuan sehingga tular di media sosial iaitu Pasar Awam Air Itam, Pasar Awam Jelutong dan Pasar Pagi Jalan Perak sudah mengambil inisiatif mengehadkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa dengan jarakan sosial.

“Berdasarkan pemantauan kami sejak minggu lepas, keadaan terkawal dan pengunjung sudah mengamalkan jarakan sosial namun kita belum lagi berpuas hati sepenuhnya serta cuba menambah baik dengan menempatkan anggota dalam kawasan pasar bagi memantau keadaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan terhadap penggunaan dron oleh ATM bagi kerja-kerja pemantauan udara di pasar terbabit.

Penutupan jalan di kawasan masuk ke pasar awam juga antara faktor utama pihaknya dapat mengekang kehadiran pengunjung yang ramai pada satu-satu masa, dan dijangkakan bilangan orang ramai ke pasar pada hari ini serta esok akan bertambah berikutan hujung minggu selain sambutan perayaan masyarakat Cina iaitu Cheng Beng.

Sementara itu, Soffian berkata daerah Timur Laut setakat kini mencatat 95.3 peratus pematuhan PKP walaupun masih banyak kenderaan dilihat bergerak di jalan raya yang terdiri daripada petugas perkhidmatan penting atau pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di hospital.

“Daripada sekatan jalan raya yang polis jalankan, kami mendapati selepas 8 malam hanya satu atau dua peratus kenderaan sahaja dilihat di jalan raya kebanyakannya terdiri daripada mereka yang baru pulang bekerja.

“Setakat ini, polis tidak menerima alasan yang tidak munasabah daripada orang ramai untuk mereka keluar rumah,” katanya.

Sehingga kini, 131 individu di daerah itu telah ditahan kerana ingkar arahan PKP dan daripada jumlah itu, 92 orang telah didakwa di mahkamah dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan terhadap bakinya.

“Antara kesalahan yang dilakukan mereka ialah berkumpul, memberi alasan tidak munasabah dan menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right