Siakap Keli
Gambar: EPA-EFE

Berang Ditegur Tak Pakai ‘Face Mask’ Dan Serang Pegawai Guna Sabit, Warga Emas Maut Ditembak

Seorang lelaki berusia 63 tahun telah ditembak mati oleh polis di Filipina selepas dia menjadi marah apabila ditegur pegawai supaya memakai topeng muka ketika keluar dari rumah.

Lelaki tersebut dipercayai sedang mabuk ketika dia mengancam pihak berkuasa dengan menggunakan sabit di selatan bandar Nasipit yang terletak di daerah Agusan del Norte, kata polis pada Sabtu.

“Suspek telah ditegur oleh petugas kesihatan di kampung berkenaan kerana tidak memakai topeng muka,” menurut laporan daripada pihak polis.

“Namun dia menjadi marah, menggunakan kata-kata provokasi dan kemudiannya bertindak menyerang pegawai dengan menggunakan sabitnya.”

Kerajaan Filipina pada Khamis telah mengeluarkan arahan kepada semua penduduk di daerah tersebut untuk memakai topeng muka ketika keluar dari rumah sepanjang tempoh perintah berkurung ini.

“Saya ulang, jika anda perlu keluar dari rumah anda, anda perlu memakai topeng muka,” kata pegawai kerajaan, Karlo Nograles.

Tambahnya, topeng muka tersebut tidak semestinya topeng yang dipakai seperti petugas kesihatan, sebaliknya apa-apa sahaja topeng yang diubah suai agar ianya dapat menutup mulut dan hidung sahaja pun sudah mencukupi.

Filipina merekodkan lebih 3,000 kes positif Covid-19 yang telah disahkan dan 144 kematian setakat ini.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Rabu menyatakan bahawa beliau akan memerintahkan pasukan polis dan tenteranya untuk menembak mati sesiapa sahaja yang melanggar perintah berkurung.

“Pesanan saya kepada polis dan tentera, jika ada sebarang masalah dan ada yang melawan serta mengancam keselamatan anda, tembak mereka sehingga mati. Daripada menimbulkan masalah, lebih baik kita tanam sahaja mereka.”

Pulau Luzon telah diletakkan dalam perintah berkurung sejak dari 16 Mac lalu. Pihak berkuasa tempatan di beberapa wilayah lain juga turut mengenakan perintah berkurung di kawasan mereka.

Orang ramai hanya dibenarkan keluar dari rumah mereka untuk membeli keperluan di pasar raya serta farmasi sahaja.

Sumber: DW

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa