Siakap Keli

Puluhan Kubur Baru Digali, Brazil Buat Persediaan Hadapi Gelombang Covid-19 Seterusnya

Brazil telah menggali puluhan kubur baru sebagai persediaan memasuki gelombang wabak Covid-19 yang seterusnya selepas negara tersebut mencatatkan peningkatan dalam jumlah kes sekurangnya 10,360 dan kematian seramai 445 orang.

Peningkatan drastik kes Covid-19 di negara Amerika Selatan itu telah memaksa pekerja di tanah perkuburan seluas 780,000 meter persegi itu untuk menggali kubur yang setakat ini telah pun mempunyai lebih daripada 1.5 juta kubur.

Seorang rakyat Brazil bernama Oswaldo dos Santos yang hadir upacara pengebumian anaknya itu berasa risau apabila melihat beberapa lelaki yang menggali kubur di tanah perkuburan tersebut.

Kesedihannya bercampur dengan kerisauan: Bagaimana jikalau mereka turut dijangkiti koronavirus? Bagaimana jika mereka semua dijangkiti?

Pesakit-pesakit di Brazil terpaksa menunggu beberapa hari untuk mengetahui keputusan sama ada mereka dijangkiti dengan virus maut itu atau tidak.

Dos Santos tinggal bersama anaknya sehingga Ahad, sehinggalah anaknya itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas. Seperti mangsa-mangsa yang lain, anak lelakinya itu dilaporkan telah meninggal dunia sebelum dia mengetahui keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukannya itu.

“Saya rasa dia telah dijangkiti,” kata Dos Santos dari tanah perkuburan di Vila Formosa, pinggir Sao Paulo.

Pengebumian anaknya itu mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja, mengikut garis panduan baru yang mengehadkan beberapa orang sahaja yang boleh hadir untuk mengekang penularan wabak ini.

Penggali kubur di Vila Formosa kini sedang berpecah peluh menggali kubur-kubur baru untuk memuatkan kira-kira 60 jenazah dalam masa sehari. Mereka yakin bahawa koronavirus telah meragut nyawa lebih daripada statistik rasmi yang dikeluarkan.

“Kebiasaannya barisan kubur baru yang kami gali akan bertahan selama tiga bulan, namun disebabkan penyakit ini, ianya hanya mampu bertahan selama sebulan sahaja,” kata salah seorang penggali kubur sambil menunjukkan barisan kubur yang baru digali.

Penggali kubur disitu menyatakan bahawa jumlah pengebumian di tanah perkuburan tersebut telah meningkat dengan pesakit-pesakit yang meninggal sebelum mereka mengetahui keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan. Kes-kes tersebut tidak dimasukkan ke dalam statistik rasmi kematian akibat Covid-19 di Brazil.

“Angka-angka yang terdapat di surat khabar adalah tidak betul,” dakwa seorang penggali kubur. “Bilangan sebenar kes-kes kematian yang terjadi di Brazil ini adalah dua atau tiga kali ganda daripada angka yang dinyatakan di surat khabar.”

Menteri Kesihatan Brazil, Luiz Henrique Mandetta, pada Rabu mengambil maklum bahawa kes koronavirus yang berlaku di Brazil mungkin tidak dilaporkan kerana keputusan ujian yang lambat.

Agensi servis pengebumian bandar Sao Paulo yang menguruskan tanah perkuburan Vila Formosa walau bagaimanapun tidak mengulas dengan lebih lanjut berkenaan angka pengebumian yang telah dijalankan di situ.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa