Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Trend Pematuhan PKP Semakin Baik – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 5 April  — Trend pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua bagi membendung penularan wabak COVID-19 semakin baik apabila jumlah penahanan terhadap individu ingkar kepada arahan itu menunjukkan penurunan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berdasarkan data polis semalam, seramai 368 individu ditahan di sekatan jalan raya serta rondaan berbanding 413 tangkapan pada hari sebelumnya.

“Ini menunjukkan penurunan jumlah penangkapan kepada 11 peratus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata statistik itu merupakan satu trend baik yang boleh dianggap sebagai pematuhan rakyat terhadap segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, memberitahu kes yang melibatkan hukuman penjara bukan sahaja berpunca daripada kesalahan gagal mematuhi PKP, tetapi juga melibatkan kes lain.

“(Contoh) Seperti menghalang tugas pihak berkuasa misalnya… jadi, selain kes pelanggaran PKP, terdapat kes lain yang mereka ini dituduh di bawah Kanun Keseksaan.

“Bukan lagi Akta 342 Kementerian Kesihatan tetapi dituduh di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman yang berat. Sebab itulah ada yang dihukum sehingga lapan bulan dan sebagainya,” kata beliau bahawa malah, terdapat contoh kes lebih berat iaitu melanggar sekatan jalan raya.

“Semalam, ada pihak polis tercedera akibat dirempuh oleh penunggang motosikal yang cuba merempuh sekatan jalan raya.

“Jadi kalau dia (suspek) langgar polis, macam-macam (tuduhan) boleh dikenakan di bawah Kanun Keseksaan. Selain menghalang polis menjalankan tugas, ada juga kesalahan yang boleh diambil tindakan dan hukuman yang berbeza daripada kesalahan di bawah PKP,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung dakwaan polis yang dianggap kasar dalam memastikan pematuhan terhadap PKP, beliau berkata polis mempunyai peraturan mereka sendiri.

“Semalam, Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) telah membuat kenyataan tentang isu-isu berkaitan tindakan pihak polis jadi kita serahkan kepada KDN. Mereka ada peraturan dan SOP (prosedur operasi standard) mereka sendiri,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 745 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 331,839 kenderaan.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 25,554 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dan 4,399 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

Fasa satu PKP bermula 18 hingga 31 Mac dan fasa dua dari 1 hingga 14 April ini.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story