Pengurus Besar Ikatan Doktor Indonesia (IDI) melaporkan, sebanyak 24 orang doktor telah meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19.
Wakilnya, Halik Malik berkata, data tersebut dikumpul hingga 5 April 2020.
“Ya, setakat ini yang dilaporkan ada 18 doktor dan enam doktor gigi yang meninggal dunia kerana COVID-19. Jumlah semuanya adalah 24 orang,” katanya kepada Health Liputan6 melalui pesanan ringkas pada Isnin.
Dalam pada itu, wakil IDI bagi Kota Makassar, Dr. Wachyudi Muchsin SH berkata Indonesia sedang berduka.
“Tolong sejenak kita kirimkan doa buat 24 rakan sejawatan kami yang terkorban kerana berjuang di barisan hadapan dalam ‘pertempuran’ melawan ganasnya COVID-19, semoga Husnul Khotimah dan keluarga mereka tabah menerima ujian ini,” ujar Yudi dalam satu laporan di Makassar Terkini.
Sementara itu, menurut laporan Straits Time, Indonesia mengumumkan peningkatan kes COVID-19 terbesar pada Isnin dan 24 doktor dilaporkan meninggal dunia selepas bertarung dengan virus itu, kata persatuan perubatan.
Peningkatan jumlah kematian dalam kalangan doktor telah berganda sejak minggu lalu berikutan kritikan tentang kekurangan peralatan perlindungan di sana.
Kira-kira 218 kes baharu dicatatkan menjadikan keseluruhannya berjumlah 2,491 kes, manakala kes kematian pula sebanyak 208 kes, menyebabkan Indonesia mempunyai kadar kematian COVID-19 tertinggi di Asia bagi negara di luar China.
Sumber: Makassar Terkini, Liputan6, Straits Time