Siakap Keli

Pakej Prihatin Tambahan Bantu Daya Tahan PKS Mikro

KUALA TERENGGANU, 6 April — Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mampu memberi kelangsungan kepada usahawan mikro yang mengalami kesukaran operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), Amir Hakimin Che Razali berkata sebelum ini kebanyakan operasi usahawan terpaksa dihentikan sementara sekali gus memberi kesan kepada aliran tunai syarikat.

“Insiatif menerusi pakej ini juga akan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat persediaan awal untuk meningkatkan semula ekonomi apabila penularan COVID-19 sudah mula berkurangan kelak.

“Ia sekali gus akan memastikan kewangan syarikat berada dalam keadaan baik serta bersedia untuk meningkatkan operasi perniagaan apabila tempoh PKP berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata geran khas sebanyak RM3,000 dan subsidi upah sebanyak RM800 kepada syarikat PKS dilihat akan memastikan prestasi usahawan PKS terus berada pada landasan pertumbuhan sedia ada.

“Sektor PKS menyumbang sebanyak 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, 66 peratus kepada guna tenaga dan 17.3 peratus kepada eksport negara.

“Sumbangan PKS kepada ekonomi negara perlu dimantapkan dengan inisiatif berterusan daripada kerajaan, bukan hanya sebagai pendorong malah pemacu utama pertumbuhan,” katanya dengan berharap usahawan PKS akan memanfaatkan bantuan itu sepenuhnya.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul