PUTRAJAYA , 6 April — Selepas Mak Cik Kiah, hari ini giliran Madam Lee, Haji Salleh dan Surjit Kaur pula untuk ‘tersenyum sedikit’ ketika tempoh mencabar akibat penularan COVID-19 ini dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan yang diumum hari ini.
Sepertimana Mak Cik Kiah sebelum ini, watak-watak ini diguna Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘contoh mudah’ untuk menjelaskan jenis bantuan yang boleh diterima mereka dalam pakej tambahan bernilai RM10 bilion khas untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Contohnya, Madam Lee, pemilik Lee Beauty Saloon, sebuah PKS mikro dengan dua pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000, boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro berjumlah RM3,000.
“Keseluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah RM10,200,” katanya dalam perutusan mengenai pakej berkenaan yang disiar secara langsung.
Antara lain, melalui pakej berkenaan syarikat yang mempunyai pekerja tempatan sehingga 75 orang yang bergaji bawah RM4,000 akan menerima subsidi upah RM1,200 bagi setiap pekerja selama 3 bulan.
Sumber: BERNAMA