Siakap Keli

BPN Legakan Golongan Penjaja Dan Peniaga B40

MELAKA, 7 April (Bernama) — Kebimbangan golongan peniaga dan penjaja yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini, sedikit sebanyak dapat diredakan dengan adanya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disediakan kerajaan.

Bagi mereka, BPN yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lepas penting untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga dan membantu semua golongan masyarakat  terutama golongan B40 yang terkesan dengan perintah tersebut bagi mengekang penularan COVID-19.

Peniaga roti dan kuih-muih, Munirati Omar, 33, berkata sejak PKP dilaksanakan dia tidak dapat keluar berniaga bersama ibunya terutama di pasar tani di Merlimau.

“Biarpun terkesan tidak dapat mencari rezeki disebabkan pasar tani tidak dapat dibuka atas faktor keselamatan namun kami akur dengan peraturan tersebut, dan syukur Alhamdulillah ada juga bantuan makanan yang disumbangkan di kampung.

Begitu juga bantuan BPN yang disediakan kerajaan, dapatlah ia digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga kami untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan susu untuk anak,” katanya kepada Bernama.

Turut berkongsi perasaan yang sama adalah peniaga aksesori baju dan pakaian, Norhafizi Norkhalid, 33,  yang menunggu perintah itu sehingga tamat kelak bagi membolehkannya berniaga semula.

Katanya beberapa inisiatif lain di bawah pakej itu termasuk penangguhan pelbagai pembayaran ansuran bulanan seperti pembayaran sewa, pinjaman, insurans dan sebagainya itu membolehkannya menarik nafas lega.

Bagi Rozita Abdullah, 40, seorang peniaga burger berkata dia bersyukur kerana masih boleh meneruskan perniagaan di kawasan kampung walaupun waktu operasi gerai berubah dari 6 petang hingga 11 malam kepada 11 pagi hingga 6 petang ketika tempoh PKP.

“Alhamdulillah, gerai kami berjualan seperti biasa dan menerima ramai pelanggan mungkin disebabkan tidak banyak kedai yang dibuka.

Tetapi dengan bantuan BPN itu sekurang-kurangnya memberi manfaat besar kepada golongan peniaga seperti kami,” katanya.

Sumber: Bernama

 

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)