Siakap Keli

Guru Dakwa Jadi Mangsa Penjual Penutup Hidung dan Mulut Di Laman Sosial

KUANTAN, 7 April  — Seorang guru wanita membuat laporan polis dan mendakwa kerugian RM5,992 selepas diperdayakan dalam urusan pembelian penutup hidung dan mulut serta sarung tangan getah di laman sosial Facebook, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa berurusan dengan seorang suspek wanita menerusi nombor telefon yang tertera pada iklan barangan itu yang dilihatnya pada 1 April lepas.

“Mangsa mendakwa telah membuat bayaran pada 5 April lalu bagi mendapatkan 86 kotak penutup hidung dan mulut serta lapan kotak sarung tangan getah kerana berhasrat untuk menjual semula barangan itu.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa barangan itu tidak pernah diterimanya walaupun dijanjikan penghantaran hanya mengambil masa sehari selain usaha untuk menghubungi suspek juga tidak berjaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Wazir barkata  seorang pesara wanita berusia 66 tahun, mendakwa kerugian RM37,000 selepas terpedaya dengan helah Macau Scam sehingga bertindak memindahkan wang simpanannya ke dua akaun yang tidak dikenali pemiliknya.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa dihubungi pada 30 Mac lalu, kononnya oleh kakitangan Telekom Malaysia yang memaklumkan nombor telefon rumahnya digunakan secara salah oleh suspek perjudian haram dalam talian.

“Mangsa mendakwa panggilan itu disambungkan ke seorang pegawai polis yang memberitahu terdapat waran tangkap dikeluarkan terhadap dirinya menyebabkan mangsa merayu supaya waran itu dibatalkan.

Suspek mendakwa boleh berbuat demikian dengan syarat mangsa perlu memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun yang diberikan, kononnya untuk membantu siasatan,” katanya.

Mangsa yang mempercayai dakwaan suspek telah memindahkan wang simpanannya sebanyak dua kali iaitu pada 31 Mac dan 1 April lepas sebelum menyedari dirinya berkemungkinan ditipu selepas gagal menghubungi ‘pegawai polis’ itu bagi bertanyakan status waran tangkap tersebut.

Sumber:  BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul