Siakap Keli

Teruslah Berada Di Rumah, Bantu Barisan Hadapan Kekang Covid-19 – Bernama

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Selepas pengumuman berita baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) oleh kerajaan semalam, kini hampir semua golongan boleh menarik nafas lega.

Pakej yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu antara lain bagi menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan walaupun terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Antara langkah tambahan yang diambil ialah peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac yang lalu akan dinaikkan kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Ia juga termasuk semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan dengan kerajaan mewujudkan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion.

Justeru apa yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia kini?

Teruslah berada di rumah dan ikuti peraturan PKP fasa dua yang masuk hari ketujuh hari ini bagi membantu usaha mendatarkan graf peningkatan kes penyakit itu seterusnya mencapai sifar jangkitan COVID-19 di negara ini.

Hari ke enam PKP fasa lanjutan semalam, menyaksikan jumlah individu yang ditahan kerana ingkar di seluruh negara meningkat sebanyak 51 peratus kepada 554 orang semalam berbanding 368 orang pada Sabtu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan angka itu mungkin kerana ramai yang mengambil kesempatan keluar (rumah) sempena hari minggu.

Ini suatu yang dikesali kerana hujung minggu bukanlah masa untuk rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai kerana pihak barisan hadapan sedang bertungkus-lumus tanpa mengira jam dan minit bagi memastikan rantaian wabak COVID-19 ini dapat diputuskan.

Walaupun berita baik iaitu jumlah pesakit sembuh dari COVID-19, menyaksikan angka tertinggi semalam iaitu 239 orang, ia sepatutnya menjadi pemangkin semangat untuk rakyat Malaysia terus berada di rumah dan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang PKP.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah 1,241 kes setakat semalam.

Sehingga 12 tengah hari semalam juga, terdapat 131 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 3,793 kes.

Manakala bagi proses penyahkuman di tempat awam, setakat ini 56 kawasan di sembilan negeri termasuk 27 di Johor dan enam di Sarawak telah melalui proses itu.

Kementerian Luar pula memaklumkan seramai 6,749 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 negara telah berjaya dibawa pulang ke tanah air, setakat 6 petang semalam.

Usaha kerajaan bagi memastikan negara segera bebas dari cengkaman wabak COVID-19 semakin hari semakin hebat, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin.

Tanggungjawab rakyat kini ialah menyokong barisan hadapan negara dengan terus berada di rumah dengan mengambil segala langkah pencegahan termasuk memastikan kebersihan diri  dan memastikan jarakan sosial jika perlu berada di luar rumah.

Sumber: Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)