Siakap Keli

Gambar ‘Frontliner’ Malaysia Dalam Misi Banteras Covid-19 Raih Perhatian Mariah Carey

Penghargaan yang sewajarnya haruslah diberikan kepada mereka yang terlibat secara langsung ataupun dengan lebih tepat barisan frontliner yang berkorban nyawa demi memerangi Covid-19.

Baru-baru ini tular di laman media sosial, Twitter tentang satu foto yang dimuat naik oleh seorang individu menggunakan nama Asraf Nordin menunjukkan tiga orang pekerja kesihatan yang dikatakan turut terlibat dalam misi Covid-19.

Apa yang menariknya, gambar itu telah mendapat perhatian penyanyi bersuara lunak dunia, Mariah Carey.

Mariah Carey sebelum itu memuat naik posting di Twitter mengucapkan penghargaan kepada barisan frontliner ini dan turut meminta pengikutnya berkongsi gambar demi meraikan mereka yang telah banyak menyumbang jasa.

Asraf dalam pada itu teruja untuk berkongsi gambar ibu saudara serta rakan-rakannya yang dikatakan antara barisan frontliner turut berjuang dalam misi membanteras virus itu.

Asraf dalam tweet tersebut memberitahu, “Yang tengah itu ibu saudara saya. Dia bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital berdekatan rumah saya. Dia antara frontliner. Terima kasih Mariah kerana menyampaikan rasa cinta anda kepada semua pekerja kesihatan.”

Penyanyi itu kemudian membalas tweet Asraf dengan caption, “Real life heroes.” (Wira sebenar.)

Gambar: Mariah Carey

Sumber: Asraf Nordin, Mariah Carey

Adib Mohd

Nur Farra