Siakap Keli

Jangan Tergesa-Gesa Hentikan Usaha Pengekangan COVID-19 – WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara-negara supaya tidak tergesa-gesa dan terlalu awal menghentikan usaha pencegahan COVID-19 dari terus merebak, lapor Al-Jazeera.

”Salah satu perkara yang paling penting adalah tidak membiarkan usaha-usaha pencegahan ini berkurang terlalu awal atau berdepan dengan risiko pandemik berulang,” kata jurucakap badan tersebut, Christian Lindmeier pada Selasa.

”Ia sama seolah-olah anda membuatkan diri anda lebih sakit, jika anda tidak sihat tetapi bangun terlalu awal dari katil dan terus berlari, kerana risiko untuk sakit kembali dan pelbagai komplikasi lain,” katanya lagi.

Neil Ferguson, seorang epidemiologist di Kolej Imperial London yang juga penasihat kepada Perdana Menteri UK, Boris Johnson dilaporkan berkata, perintah kawalan boleh dilonggarkan sekiranya kerajaan bergerak ke arah ujian pengesanan besar-besaran.

”Kami mungkin boleh melaksanakan peraturan-peraturan yang lebih sederhana, menggunakan lebih banyak teknologi dan ujian besar-besaran, berbanding perintah berkurung semasa sekurang-kurangnya menjelang hujung Mei,” katanya kepada BBC.

Manakala Denmark pula dilaporkan mahu membuka semula beberapa bahagian negara menjelang minggu-minggu akan datang, bagaimanapun langkah berkenaan akan dibuat secara berhati-hati.

Perdana Menterinya, Mette Frederiksen pada Isnin berkata, kerajaan akan membuka semula sekolah, pusat penjagaan dan pusat asuhan, kali pertama dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun katanya, jika kes COVID-19 menunjukkan peningkatan selepas Hari Easter, keputusan tersebut akan dibatalkan serta-merta.

Negara-negara Eropah yang lain seperti Austria juga dilaporkan bersedia untuk membuka kembali pusat perniagaan namun pihak berkuasa boleh mengarahkan penutupan serta-merta jika kes jangkitan dilaporkan bertambah kembali.

Sumber: Al-Jazeera, Washington Times, Reuters

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.