Siakap Keli
Foto: Bernama

Kerajaan Negeri Wujudkan ‘E-Bazar Ramadan Selangor Grab’, Bantu Peniaga Jana Pendapatan

SHAH ALAM, 8 April – Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan platform dalam talian, ‘E-Bazar Ramadan Selangor Grab’, bagi membolehkan peniaga menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu diwujudkan susulan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini yang diumumkan pada 1 April lepas.

Beliau berkata usaha itu juga dilihat memberi peluang kepada rakyat Selangor, membeli juadah untuk berbuka puasa secara dalam talian.

“Pembatalan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini dijangka menyebabkan hampir 17,000 peniaga dan penjaja, hilang mata pencarian.

“Bagi membolehkan peniaga menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan, kerajaan negeri membina ekosistem keusahawanan baharu dengan kerjasama syarikat penghantaran iaitu Grab Malaysia dinamakan ‘E-Bazar Ramadan Selangor Grab’,” katanya.

Amirudin menjelaskan, menerusi konsep bazar Ramadan digital itu, pembelian hanya dibenarkan dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi aplikasi Grab, dan peniaga perlu mematuhi segala spesifikasi penyediaan makanan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, sebanyak 15 kawasan di negeri ini telah dikenal pasti untuk dijadikan dapur berpusat, dan pelaksanaannya akan diselaraskan oleh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) serta Hijrah Selangor.

“Kerajaan negeri percaya usaha tersebut adalah antara usaha sama strategik awam-swasta yang diperlukan di saat ini bagi menghadapi norma baharu akibat penularan wabak COVID-19. Diharapkan, semua pihak dapat mengambil manfaat daripada inisiatif digitalisasi Selangor tersebut,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang