Siakap Keli

Kompaun RM1,000 Terhadap Individu Ingkar PKP Bermula Hari Ini – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 8 April — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mereka yang dikenakan kompaun perlu membuat pembayaran di Pejabat Kementerian Kesihatan dalam tempoh dua minggu dari tarikh ia dikeluarkan.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara berkenaan untuk rujukan pegawai dan anggota selain borang kompaun telah diedarkan ke semua kontinjen polis negeri.

“Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis terlebih dahulu sebelum diberikan kompaun dan sekiranya enggan membayar kompaun, mereka boleh meminta untuk dibicarakan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk mematuhi PKP dan sentiasa berada di dalam rumah masing-masing.

“Jumlah RM1,000 ini bukan satu nilai yang kecil, jadi janganlah ambil mudah perkara ini dan bantulah kami untuk putuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan memeriksa setiap lori dan penghantar makanan di semua sekatan jalan raya susulan ada cubaan menyeludup barang terlarang seperti rokok.

“Dalam tempoh PKP,  jenayah indeks di seluruh negara menunjukkan penurunan 67 peratus iaitu daripada 350 kes sehari kepada 116 kes,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 66 warga PDRM disahkan positif COVID-19 manakala 1,225 lagi sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

 “Mereka yang dikuarantin terdiri daripada 155 pegawai kanan, 654 pegawai rendah, 35 pegawai awam dan 381 ahli keluarga mereka,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra