Siakap Keli

Lelaki Hilang Selepas Hantar Bantuan Makanan

Seorang penghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaporkan hilang dalam kejadian perahu karam di Ulu Julau, dekat Sibu semalam.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Ismuni Umar berkata lelaki tersebut, Masing Seliong, 35, dipercayai dibawa arus sungai selepas perahu yang dinaikinya bersama Apai Kiroh dan Laki Anchi karam dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.

“Perahu itu dikatakan karam berdekatan kawasan Nanga Senyuruk (di Ulu Julau)… dua mangsa (Apai dan Laki) berjaya menyelamatkan diri, pulang ke rumah panjang mereka di Sungai Ensiring (kemudian) mendapati Masing hilang seterusnya melaporkan kejadian itu (kepada pihak polis) hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ismuni berkata sebelum kejadian itu, ketiga-tiga lelaki terbabit menyertai rombongan Adun Meluan, Rolland Duat Jubin, untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk di lapan rumah panjang di sepanjang sungai itu.

“Di rumah panjang terakhir, mereka diajak penduduk untuk bermalam di sana namun menolak dan meneruskan perjalanan balik sebelum kejadian perahu karam itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk telah memulakan gerakan mencari mangsa.

– Bernama

Nur Farra