Siakap Keli

Penghuni Selangor Mansion, Malayan Mansion Jalani Sanitasi, Saringan COVID-19

KUALA LUMPUR, 8 April — Penghuni di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, di sini, hari ini menjalani proses sanitasi dan saringan wabak COVID-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan Bernama mendapati, kira-kira 50 petugas KKM yang bersut lengkap sedang mengambil sampel daripada penghuni, bermula pagi tadi.

Rata-rata penghuni memberikan kerjasama baik terhadap petugas, selain akur kediaman yang mereka duduki kini, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sejak semalam.

Selain itu, terdapat juga kenalan-kenalan kepada penghuni bangunan ini, yang ingin menghantar bekalan makanan kepada mereka, namun niat itu terpaksa dilupakan apabila mereka (kenalan) tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa dan dibenarkan hanya pada waktu-waktu tertentu, seperti  4 petang tadi.

Wartawan Bernama yang melalui kawasan tersebut mendapati tiada seorang pun yang melalui persekitaran bangunan yang berdekatan pondok polis Masjid India itu, melainkan anggota perkhidmatan perlu (essential services) dan kawasan itu hanya dipenuhi sekumpulan burung merpati yang mencari makan.

Bagi memastikan pematuhan perintah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Rela akan mengawal seluruh kawasan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan PKPD di tiga kawasan iaitu Simpang Renggam, Kluang, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Bagi Menara City One pula, Bernama difahamkan saringan dari rumah ke rumah oleh petugas kesihatan bagi mengambil sampel penghuni telah pun bermula, sejak jam 10 pagi tadi.

Saringan yang dijalankan itu berakhir jam 3 petang tadi, dengan sejumlah kotak dibawa keluar oleh para petugas, dipercayai mengandungi sampel-sampel penghuni.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, bagi penghuni menara yang terletak di Jalan Munshi Abdullah yang ingin menjamu selera, perkhidmatan penghantar makanan sedia menghantar makanan, namun penghuni perlu turun mengambilnya sendiri di pondok polis yang sedang berkawal.

Semalam, Bernama melaporkan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memutuskan pelaksanaan PKPD di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India di sini berkuatkuasa, semalam

Arahan PKPD itu dilakukan berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan COVID-19 di kedua-dua bangunan itu.

Dalam perkembangan sama, sebuah khemah disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), bagi kemudahan para petugas media di hadapan Menara City One.

Difahamkan khemah terbabit didirikan pagi tadi oleh petugas KKMM, bagi memberi keselesaan petugas media dalam membuat liputan terkini, berkenaan PKPD di sana.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul