Siakap Keli
Kredit: Bernama

Semua Pihak Termasuk Agensi Kerajaan Diminta Berhati-hati Guna Aplikasi Sidang Video Percuma Dalam Talian- PDRM

KUALA LUMPUR, 8 April — Semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan diminta berhati-hati ketika menggunakan aplikasi sidang video percuma dalam talian, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau mengesahkan bahawa polis telah menerima surat peringatan akan berlaku ancaman siber.

“Polis telah menerima surat peringatan supaya semua agensi kerajaan berhati-hati dengan serangan siber yang mungkin berlaku,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular bahawa akan wujud ancaman siber ke atas agensi-agensi kerajaan yang kini melaksanakan tugas secara dalam talian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Acryl Sani berkata polis tidak menggunakan aplikasi Zoom untuk melakukan sidang video secara dalam talian.

“Saya difahamkan aplikasi ini popular untuk mengadakan kelas secara dalam talian,” katanya.

Acryl Sani berkata polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati melakukan sebarang transaksi secara dalam talian.

“Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak memberikan sebarang maklumat peribadi kepada pihak ketiga bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.