Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Guru Rugi RM387,000 Diperdaya Macau Scam Menyamar Polis Trafik

Johor Bahru: Seorang guru sekolah rendah kerugian RM387,000 diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis trafik, kata  Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata wanita berusia 38 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian itu di sebuah balai polis, di sini, pada 11.48 pagi semalam.

Menurutnya semuanya bermula apabila mangsa yang bertugas di sebuah sekolah di Kluang,  menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai polis trafik pada 4 Feb lepas yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes langgar lari.

”Susulan itu, mangsa telah diminta untuk membuka akaun bank yang baharu, kononnya untuk memastikan wang wanita itu selamat.

”Mangsa juga diarahkan untuk mendaftarkan nombor telefon yang tidak dikenali ke atas akaun bank baharu itu dengan alasan untuk memudahkan kawalan ke atas akaun itu tetapi sebenarnya bertujuan untuk mengaktifkan perbankan internet mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mangsa turut diarahkan untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun bank baharu itu dan merahsiakan perkara tersebut daripada pihak keluarga dan kawan-kawan selain diarah memadamkan perbualan telefon (WhatsApp) dan juga menghapuskan slip-slip bank berkaitan bagi menghilangkan bukti dan keterangan.

Menurut Ayob Khan, mangsa tidak menyedari wangnya, yang sebahagiannya terdiri daripada duit simpanan dan pinjaman peribadi itu, hilang kerana suspek telah mengawal akaun bank mangsa melalui perbankan internet.

”Polis Johor telah berulang kali menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan penipuan ‘Macau Scam’ dan tidak panik apabila menerima panggilan sebegini.

”Jangan mudah percaya dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dan jangan sesekali memberikan maklumat peribadi, akaun bank dan sebagainya kepada orang yang tidak dikenali. Agensi-agensi penguatkuasaan tidak akan sesekali meminta butiran akaun bank dan juga maklumat peribadi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.