Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Tujuh Rumah Kedai Terbakar Di Pokok Sena, Kedah

Alor Setar: Tujuh rumah kedai sederet di depan Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samat di Jalan Pokok Sena dekat sini, musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Kejadian pada kira-kira 12.10 tengah hari itu, bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufa’at Kamaron berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.18 tengah hari sebelum tiba ke lokasi kejadian seminit kemudian.

“Kebakaran melibatkan tujuh premis rumah kedai dua tingkat kelas B yang rata-ratanya diperbuat daripada kayu dan tahap kemusnahan adalah antara 60 hingga 95 peratus.

“Kedai yang musnah ialah sebuah premis menjual kusyen, sebuah premis menjual peralatan sembahyang Cina dan lima premis yang telah dijadikan sebagai kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kerja pemadaman api dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, BBP Kuala Nerang dan BBP Alor Setar serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pokok Sena, PBS Simpang Empat dan PBS Tunjang.

Api telah berjaya dikawal, namun punca kejadian masih dalam siasatan, katanya.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.