AMSTERDAM – Seorang wanita Belanda berusia 107 tahun dilaporkan telah sembuh daripada jangkitan COVID-19, menjadikan dirinya mungkin pesakit tertua di dunia yang berjaya pulih daripada wabak tersebut.
Menurut laporan akhbar AD, wanita itu, Cornelia Ras mula berasa tidak sihat pada 17 Mac lalu, iaitu sehari selepas tarikh hari lahirnya yang ke-107 selepas menghadirkan diri ke khidmat gereja di Goeree-Overflakke, di sebuah pulau di selatan negara itu bersama ahli-ahli rumah jagaannya.
Bagaimanapun, dia dan 40 orang yang lain di khidmat tersebut didiagnosis membawa virus tersebut.

12 daripada kumpulan itu dilaporkan telah meninggal dunia, tetapi Cornelia diberitahu oleh doktornya pada Ahad bahawa dia telah ‘mengalahkan’ jangkitan itu.
“Kami tidak menjangkakannya yang dia boleh sembuh.
“Dia tidak mengambil sebarang ubat, masih lagi berjalan dengan baik dan berdoa pada setiap malam untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuhan. Kelihatan dari situ, dia mampu untuk meneruskannya,” kata anak saudaranya, Maaike de Groot kepada pemberita.
Untuk rekod, seorang lagi warga emas tertua yang berjaya sembuh daripada jangkitan COVID-19 sebelumnya ialah Bill Lapschies, seorang warga Amerika berusia 104 tahun.
Sumber: Today Online