Pihak berkuasa di Bangkok telah mengharamkan penjualan minuman beralkohol untuk tempoh 10 hari dalam usaha mengawal orang ramai dari terus berkumpul yang boleh menyebabkan COVID-19 merebak.
Lebih daripada separuh kes jangkitan COVID-19 di Thailand adalah di sekitar bandar ibu negara itu. Bangkok ketika ini berada dalam perintah darurat negeri dengan arahan separa berkurung dikuatkuasakan.
Beberapa wilayah lain seperti Chiang Mai dan Phuket turut melaksanakan pengharaman sama.
Pengharaman tersebut berkuatkuasa dari 10 April hingga 20 April dan ia sebagai usaha terbaru di wilayah metropolitan itu untuk mengurangkan kadar jangkitan sejak awal Mac.
“Kami minta anda semua berikan kerjasama.
“Kami sedang berusaha mengawal penyebaran virus itu,”kata jurucakap Pentadbiran Bandar Raya Bangkok, Pongsakorn Kwanmuang pada Khamis.
Pihak berkuasa juga menangguhkan sambutan Songkran, perayaan tradisi kebangsaan Thailand, yang dijadualkan berlangsung diantara 13 hingga 15 April ini.
Sumber: NPR, The Bangkok Post