Siakap Keli

Kronologi Perintah Kawalan Pergerakan Sehingga 10 April

KUALA LUMPUR, 10 April  — Berikut adalah kronologi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi wabak COVID-19.

16 Mac 2020: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

– Muhyiddin berkata PKP itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

18 Mac 2020: PKP mula berkuat kuasa.

22 Mac 2020: Hampir 50,000 anggota terdiri daripada tentera, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan memantau pematuhan orang ramai terhadap PKP, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

– Seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan PKP.

23 Mac 2020: Ketua Setiausaha di kementerian yang menyediakan perkhidmatan keperluan, perlu mengeluarkan surat kebenaran perjalanan kepada semua kakitangan yang bertugas, sepanjang PKP, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

– Di Perak, seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa PKP.

24 Mac 2020: Pematuhan rakyat terhadap PKP meningkat kepada 95 peratus, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

– Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang PKP.

– Pemegang lesen memandu dikecualikan daripada memperbaharui lesen bagi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

– ATM mula menggunakan dron bagi mengawal dan memantau pergerakan rakyat sepanjang tempoh PKP di seluruh negara.

25 Mac 2020: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin umum pelanjutan tempoh PKP sehingga 14 April.

26 Mac 2020: Proses pembersihan dan pencucian nyahcemar dilakukan di premis awam terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan merah.

– Kerajaan laksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor hingga 9 April.

27 Mac 2020: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan 2,732 syarikat meneruskan operasi semasa tempoh PKP.

– Bacaan SO2 (sulfur dioksida) dan NO2 (nitrogen dioksida) dalam udara menurun selaras dengan pengurangan bilangan kenderaan motor di jalan raya terutama di bandar-bandar utama susulan pelaksanaan PKP.

29 Mac 2020: Kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor hingga 13 April.

30 Mac 2020: Kerajaan menguatkuasakan PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur hingga 13 April.

1 April 2020: Fasa kedua PKP bermula sehingga 14 April.

– Semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

– Had perjalanan individu yang keluar rumah dalam tempoh PKP bagi tujuan dibenarkan adalah ditetapkan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman.

3 April 2020: Pematuhan orang ramai terhadap PKP meningkat kepada 99 peratus, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

– Semua bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi selagi PKP dilaksanakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

4 April 2020: Seramai 5,126 ditahan kerana melanggar perintah PKP sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

7 April 2020: Indeks jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70 peratus sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

– Kerajaan memutuskan pelaksanaan arahan keempat PKPD di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

8 April 2020: Polis mula mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP.

9 April 2020: PKPD di dua kawasan dekat Simpang Renggam, Kluang, Johor dilanjutkan sehingga 14 April.

10 April 2020: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi iaitu dari 15 April hingga 28 April.

– Sesi persekolahan mungkin ditangguh sehingga keadaan kembali pulih.

— BERNAMA

Nur Farra