Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Op COVID-19: Pemandu Mabuk, Langgar Kereta Polis

KUALA LUMPUR, 10 April — Gara-gara mabuk dan melanggar kereta pasukan polis, seorang lelaki ditahan di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Tol PJS 2, Petaling Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata individu berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu secara meluru dari arah belakang dan melanggar kereta pasukan polis yang dipandu seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman.

“Tiada kecederaan fizikal melibatkan kedua-dua pemandu kereta dan anggota yang bertugas di lokasi sekatan jalan raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata keputusan ujian pernafasan yang dijalankan mendapati individu berkenaan telah mengambil alkohol melebihi had yang dibenarkan dan disiasat di bawah Seksyen 45(a)(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Selain itu,beliau berkata lelaki berkenaan juga telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit)(No.2) 2020.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd