KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah tersebut adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara, mengelakkan kehilangan pekerjaan yang tinggi serta memastikan rakyat terus mendapat akses keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Keputusan ini adalah hasil selidik yang mendapati penularan COVID-19 bukan sahaja memberi kesan besar pada kesihatan, malah turut memudaratkan prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS).
“MITI memperhalusi kebenaran operasi sektor tambahan berdasarkan beberapa pertimbangan, iaitu tahap kepentingannya dalam rantaian bekalan global (GVC) dan eksport negara bagi menjamin kestabilan aktiviti eksport.
“Selain itu, pertimbangan lain adalah aktiviti ekonomi sektor (tambahan) mempunyai gandaan nilai tambah yang tinggi, impaknya ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan serta jumlah tenaga kerja yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Azmin menambah, syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan dari semasa ke semasa.
“Kegagalan syarikat berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta semasa,” tambahnya lagi.
Menurutnya, syarikat-syarikat terlibat boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula Isnin, 13 April 2020 dari pukul 9 pagi secara atas talian di www.miti.gov.my dan proses kelulusan hanya diberikan kepada permohonan yang menepati syarat lengkap.
Lampiran berikut adalah senarai sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi:


.
Kebenaran beroperasi diberi kepada sektor tambahan bagi melindungi ekonomi negara pasca COVID-19. @AzminAli pic.twitter.com/tPQLMS6EAI
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) April 10, 2020
Senarai sektor tambahan yang diberi kebenaran untuk beroperasi. pic.twitter.com/dmP8qzaRn2
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) April 10, 2020
Sumber: Twitter