Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

(Video) Dituduh Ingkar Perintah Penjarakan Sosial, Ayah Digari Depan Anak & Isteri

Colorado, Amerika Syarikat – Seorang bapa yang didakwa mengingkari perintah penjarakan sosial digari di hadapan anak perempuan dan isterinya.

Menurut Daily Mail, lelaki tersebut sedang bermain bola bersama anaknya di sebuah taman permainan sebelum didatangi polis pada Ahad lalu.

Mereka kemudiannya menahan dan menggari lelaki berkenaan. Susulan itu, lelaki itu menuntut permohonan maaf daripada anggota terlibat kerana menyifatkan tindakannya bermain bola tidak salah.

Menceritakan kembali penahanan itu di laman sosial miliknya, lelaki itu berkata dia tidak menyangka akan ditahan oleh pihak berkuasa.

“Anak saya berkata, “Ayah, saya tak mahu ayah ditahan“. Ketika ini saya berfikir, “Tak mungkin mereka akan tahan saya, ini semua gila.”

“Saya katakan kepada anak saya, “Jangan risau, ayah tak akan ditahan. Ayah tak buat salah. Jangan risau“, tapi mereka tetap menahan saya,” katanya.

Berdasarkan laporan Daily Mail, terdapat papan tanda di taman tersebut yang tertulis larangan beraktiviti di sana melebihi empat orang.

“Tutup. Dalam kumpulan kurang empat orang, taman tetap terbuka untuk aktiviti berjalan, mendaki, menaiki basikal, berlari dan aktiviti serupa”, tulis papan tanda itu.

Susulan itu, pihak polis tempatan telah menyatakan permohonan maaf kepada lelaki tersebut pada 7 April lalu.

Sumber: Daily Mail