Siakap Keli

Pengusaha Kedai Gunting Rambut Tidak Mahu Jadi Pencipta ‘Kluster’ Penyebar Baharu

TANAH MERAH, 12 April  – Rata-rata pengusaha kedai gunting rambut tidak mahu menjadi pencipta ‘kluster’ baharu penularan wabak pandemik COVID-19 walaupun sektor itu dibenarkan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Pengusaha kedai gunting rambut di Jalan Wan Rahmat di sini, Tuan Syafiq Izat Tuan Zaib, 24, berkata, hakikatnya memang terdapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan dalam tempoh ini, namun perlu juga memikirkan nyawa.

“Berkemungkinan saya akan menyediakan perkhidmatan di rumah serta melalui temujanji dengan pelanggan dan kaedah ini dapat mengehadkan bilangan pelanggan dalam satu hari. Itupun jika tidak menjadi halangan. Saya tidak mahu premis saya menjadi pencipta ‘kluster’ baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih seperti perkhidmatan gunting rambut asas untuk mula beroperasi secara berperingkat-peringkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Tuan Syafiq berkata jika menawarkan perkhidmatan menggunting rambut di rumah beliau akan mengambil berat aspek keselamatan diri dan pelanggan walaupun mustahil dapat menjarakkan diri sejauh satu meter daripada pelanggan semasa menggunting rambut.

“Penyakit ini sukar dikenalpasti, namun untuk mencari pendapatan ia perlu dilakukan atas inisiatif sendiri,” katanya yang mengusahakan kedai gunting rambut sejak dua tahun lepas.

Seorang lagi tukang gunting rambut Jalan Jedok, Kampung Mana di sini, Mohd Saidi Ismail, 35, pula berkata jika kembali beroperasi beliau akan mengehadkan pelanggan dalam tempoh sehari berbanding sebelumnya.

“Pelanggan selepas ini mesti membuat temujanji dan tidak dibenarkan berkumpul untuk menunggu giliran di kedai saya kerana saya tidak mahu perkhidmatan saya menjadi penyumbang kepada peningkatan penyakit ini.

“Namun, mahu tidak mahu saya perlu beroperasi juga untuk mendapat pendapatan yang 100 peratus bergantung kepada gunting rambut,” katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan (PJRISWP) turut meluahkan kekhuatiran sama dan memohon pihak Kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar menutup operasi kedai gunting rambut sehingga Tahap 3 PKP berakhir pada 28 April ini.

Presiden persatuan Ganathiban Murugan dalam satu kenyataan berkata, kerja gunting rambut ini boleh membawa risiko tinggi jangkitan COVID-19 memandangkan tiada peluang untuk tukang gunting dan pelanggan amalkan jarak sosial.

Pada masa yang sama, peralatan gunting rambut yang digunakan adalah sama bagi semua pelanggan, yang menyumbangkan lagi kepada risiko jangkitan COVID-19, katanya dalam kenyataan yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun kebenaran diberikan kepada mereka yang beroperasi di kawasan zon hijau sahaja, peluang pelanggan dari kawasan zon merah untuk mengunjungi kedai gunting rambut di zon hijau dalam tempoh PKP ini adalah sangat tinggi dan ini boleh menggagalkan usaha memerangi COVID-19.

Ganathiban berkata, walaupun anggotanya banyak mengalami kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac, pihaknya tetap menyokong dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan bersama MKN sewaktu PKP berkuatkuasa.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang