Siakap Keli
Kredit: Bernama

Ibu Gigih Jual Jeruk Mangga “Online”, Talian Hayat Keluarga Tampung Anak Sakit Paru-Paru Kronik

BACHOK, 13 April (Bernama) — Seorang suri rumah memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas dengan menjual jeruk mangga bagi menampung perbelanjaan anak tunggalnya yang terlantar akibat menderita penyakit paru-paru kronik.

Norhayati Abdullah, 26, berkata dia terdetik untuk menjalankan perniagaan makanan ringan berkenaan untuk membantu suaminya Mohd Saiful Azrin Hazmi, 28, yang hanya bekerja sebagai buruh, mencari pendapatan tambahan.

“Sebelum tempoh pelaksanaan PKP, kami tiga beranak bergantung harap dengan pendapatan suami sebanyak RM350 seminggu, namun sejak perintah ini dilaksanakan kami kesempitan hidup disebabkan suami tidak dapat keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Sembilan di sini.

Norhayati berkata anak tunggalnya Nur Amni Fatini Mohd Saiful Azrin, 4, disahkan menghidap penyakit paru-paru ketika berusia dua tahun selepas sering kali mengalami demam yang berpanjangan.

“Anak saya mengalami komplikasi kekurangan oksigen ke otaknya sejak lahir dan disebabkan itu hampir tiga bulan dia terpaksa berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Tak boleh berjalan seperti kanak-kanak lain

Nor Hayati berkata, Nur Amni Fatini terlantar sepanjang hari itu tidak boleh berjalan dan bercakap seperti kanak-kanak lain seusianya dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang diberikan melalui tiub yang dipasang pada bahagian perutnya.

Beliau berkata Nur Amni Fatini diberikan susu enam kali sehari dan susu berkenaan yang berharga RM150 setin hanya mampu bertahan bagi tempoh seminggu.

“Walaupun saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, ia masih tidak mencukupi kerana untuk menyiapkan keperluan Nur Amni Fatini sahaja peruntukan sebanyak RM1,000 sebulan diperlukan untuk membeli susu khas sebanyak RM600 (empat tin) dan lampin pakai buang,” katanya.

Nor Hayati berkata beliau menjual jeruk dengan harga RM10 sebekas dan hasilnya mampu menampung kekurangan perbelanjaan mereka sekeluarga sekali gus membeli keperluan Nur Amni Fatini.

Ditanya bekalan mangga untuk dibuat jeruk, Nor Hayati berkata ia dibeli daripada penduduk di sekitar kawasan Bachok dengan harga RM2 sekilogram.

Jual atas talian

“Saya mempromosikan jeruk mangga ini di laman Facebook serta aplikasi WhatsApp saya dan pelanggan akan membuat tempahan sehari sebelum. Kebiasaannya, purata pendapatan harian yang diperoleh adalah sekitar RM70 bergantung kepada tempahan.

“Bagi pelanggan yang memesan untuk dihantar secara terus ke rumah, kos penghantaran akan dikenakan antara RM3 ke RM4 bergantung jarak perjalanan. Biasanya pelanggan saya terdiri daripada penduduk di sekitar Kota Bharu dan juga Bachok,” katanya.

Beliau yang juga penerima manfaat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan sebanyak RM1,600 yang diberikan kepada golongan isi rumah B40.

“Saya akan menggunakan bantuan ini sebaiknya bagi kegunaan keperluan harian selain untuk membeli susu dan lampin anak saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Nor Hayati Abdullah bernombor 0300941000019491 atau menghubunginya di talian 011-25560464.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.