Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Puluhan Gajah Tunggangan Pelancong Dilaporkan ‘Dibebaskan’ Berikutan Kesan Covid-19

Ketika manusia bertungkus lumus memerangi wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia, wabak ini juga telah memberi nafas baru buat puluhan gajah yang digunakan untuk tunggangan pelancong di utara Thailand.

Di Maesa Elephant Camp, Chiang Mai, sektor pelancongan telah mendapat tempias yang hebat berikutan dengan penularan wabak Covid-19. Pelbagai perniagaan serta pengusaha terpaksa menutup perniagaan mereka kepada semua pelancong.

Dengan ketiadaan petunjuk yang boleh menunjukkan bahawa wabak ini bakal berakhir, para pemilik gajah-gajah tersebut telah memutuskan untuk melepaskan rantai besi dan kesemua kerusi yang diikat di badan gajah mereka.

Seperti laporan yang dinyatakan oleh Independent pada 26 Mac 2020 lalu, kem tersebut telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan memakaikannya kembali walaupun wabak ini telah berakhir.

Sebaliknya, haiwan ini akan dibiarkan berkeliaran secara bebas di kawasan kem tersebut, di mana pengunjung boleh melihat mereka di habitat semula jadinya.

Menurut pengarah kem, Anchalee Kalampichit, ianya merupakan pertama kali dalam 44 tahun gajah ini tidak dipakaikan dengan alatan itu pada siang hari.

“Sejak kami menceburi perniagaan ini pada 1976, aktiviti menunggang gajah antara aktiviti yang paling digemari pelancong,” katanya.

“Namun disebabkan kekurangan kedatangan pelancong yang disebabkan oleh penyebaran virus Covid-19 ini, kerajaan telah mengarahkan kami untuk menghentikan operasi, jadi kami pun memutuskan untuk menurunkan kerusi di badan gajah-gajah tersebut.

“Kami juga telah memutuskan untuk tidak memasangnya kembali walaupun kami dibenarkan beroperasi semula. Kami ingin mengubah gaya tempat ini serta mencari cara yang lebih semula jadi supaya pelawat dapat menikmati gajah-gajah ini.

“Kami akan mengalu-alukan pelancong untuk belajar kehidupan semula jadi gajah daripada menggunakannya untuk menghiburkan para pelancong,” ujarnya.

Sumber: Independent

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa