Siakap Keli
Kredit: Bernama/KKM

“Banyak Kereta Banjiri Bandar Seremban”, Doktor Risau Pertambahan Kes COVID-19 Disana

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Demi memutuskan rantaian COVID-19, kerajaan telah memerintahkan orang ramai agar terus duduk di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, ada segelintir pihak yang tetap mengendahkan perintah itu, sebaliknya keluar rumah sesuka hati tanpa  sebarang keperluan mustahak. Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 9,090 individu ditahan akibat ingkar PKP, manakala jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah 4,036 kompaun setakat semalam.

Hal ini turut mendapat perhatian seorang doktor di Seremban, Ahmad Luqman Bukhari. Katanya, beliau sering mendengar ramai orang mula membanjiri zon merah itu seolah-olah PKP semakin longgar.

Menurut beliau lagi, sebanyak 42 kes positif COVID-19 baru telah dicatatkan semalam di Negeri Sembilan dengan 41 daripadanya melibatkan daerah Seremban. Mari baca perkongsian beliau.

Saya perasan ramai yang duk cerita banyak kereta mula membanjiri Bandar Seremban sejak awal pagi tadi. Hingga ada yang beritahu PKP seolah-olah dah makin longgar.

Mulalah seharian hati ni rasa tak sedap. Serba serbi tak kena.

Tup-tup sekejap tadi dapat berita 41 kes baru positif dikesan kat Seremban ni!

Bukan 4 kes. 41 woih!

Lemah seluruh sendi badan lalu tersandar ke kerusi masa mula mula tahu berita ni tadi. Satu demi satu wajah rakan-rakan sekerja dekat Hospital Seremban sana tiba-tiba menerpa ke dalam fikiran.

Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri.

Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata.

Ada yang isterinya sedang sarat mengandung.

Walaupun berada dalam suasana kerja berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut, mereka cekalkan hati.

Walaupun saban hari ada yang diarah untuk jalani kuarantin, mereka cekalkan hati.

Walaupun risau setiap kali tiba waktu pulang, takut takut terbawa pulang bencana ke rumah, mereka cekalkan hati.

Malangnya kecekalan tu dibalas dengan sampah busuk oleh sebahagian manusia degil yang tak reti patuh arahan berkurung!

Kawan-kawan,

Di Seremban ni sahaja kita dah ada 260 orang pesakit positif.

2 kawasan diletakkan dalam zon merah. Manakala 2 lokasi lagi dah dikategorikan sebagai zon jingga.

Lain-lain lokasi hampir kesemuanya termasuk dalam kategori zon kuning.

Sekiranya masih lagi bersikap sambil lewa dan bangga dengan sikap pentingkan diri sendiri, ketahuilah yang kita akan menzalimi lebih ramai orang lebih lebih lagi petugas kesihatan.

Bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif, dikenakan perintah berkurung yang lebih keras serta melihat pertambahan jumlah kematian di kawasan kita ni.

KKM dah berusaha sehabis baik. Namun kita tak kan menang jika ada yang tak berikan kerjasama.

Tolong kongsikan pesanan ini pada ahli keluarga dan sahabat agar mereka terus beringat dan berhati-hati. Bukan nak menakutkan, tetapi saya harap kita sama-sama jangan ambil mudah.

Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Seremban.

Sumber: Ahmad Luqman Bukhari

Amira

Love yourself.