Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: Kematian Lebih Tinggi Dalam Kalangan Lelaki – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) — Hampir 75 peratus daripada kematian akibat COVID-19 di Malaysia melibatkan lelaki kerana golongan itulah yang banyak terlibat dalam aktiviti luar rumah dan yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian paling tinggi COVID-19 melibatkan kaum lelaki adalah dalam kalangan mereka yang menghadiri perhimpunan Sri Petaling pada Februari lepas.

“Lebih 30 peratus kematian COVID-19 di Malaysia adalah daripada perhimpunan itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebih 50 peratus pesakit COVID-19 yang meninggal dunia adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas iaitu kumpulan yang berisiko tinggi.

“Lebih 85 peratus (pesakit COVID-19) yang meninggal dunia ada penyakit-penyakit lain iaitu kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata apabila mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit dijangkiti COVID-19, gejala yang dialami mereka lebih teruk daripada mereka yang tidak ada penyakit.

Sehingga 12 tengah hari Selasa terdapat 82 kes kematian COVID-19 di Malaysia.

Jumlah itu merupakan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia iaitu 4,987 kes dengan 2,478 kes atau 49.7 peratus telah discaj daripada wad.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa