Siakap Keli

COVID-19 Sepuluh Kali Ganda Lebih ‘Membunuh’ Berbanding Virus Selsema Babi- WHO

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, COVID-19 adalah sepuluh kali ganda lebih membunuh berbanding H1N1 (selsema babi) pada 2009.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pandemik yang sedang menyerang dunia kini telah melangkaui angka kematian akibat H1N1.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta negara-negara agar tidak tergesa-gesa melonggarkan kawalan penjarakan sosial.

“Kita hanya boleh beri kenyataan berdasarkan pengetahuan, dan bertindak atas apa yang kita tahu,” katanya.

“Bukti dari beberapa negara menunjukkan gambaran jelas virus ini, bagaimana ia bertindak, cara menghentikannya dan bagaimana untuk merawatnya.

Katanya, COVID-19 merebak dengan cepat dan 10 kali lebih mematikan berbanding pandemik selesema babi. Tambahan pula, ia boleh tersebar lebih mudah di kawasan ramai seperti rumah perlindungan.

“Kita tahu penemuan awal kes, ujian, kuarantin dan menjaga setiap kes serta mengesan kontak rapat adalah penting untuk menghentikan transmisi,” ujarnya.

Naik dengan pantas, turun perlahan

Kata Tedros, kes COVID-19 meningkat dengan pantas, tetapi menurun dengan perlahan.

“Kita tahu bahawa dalam beberapa negara, kes berganda setiap tiga ke empat hari. Namun walaupun COVID-19 meningkat dengan laju tapi ia (kes) menurun dengan sangat perlahan.

“Dalam erti kata lain, penurunan kes adalah lebih lambat berbanding peningkatan. Ini bermakna langkah mengawal mesti dilonggarkan dengan berhati-hati dan secara terkawal.

Beliau turut meminta kerajaan agar menimbang tara kesan virus terhadap kesihatan manusia dan meletakkannya sebagai prioriti utama dalam melonggarkan penjarakan sosial.

Komen tersebut dikeluarkan setelah Presiden Amerika, Donald Trump menyatakan rancangan untuk meringankan penjarakan sosial dan ingin membuka semula negara untuk kegiatan ekonomi.

Menurut Independent UK, beberapa negara seperti Denmark, Amerika Syarikat dan Sepanyol kini mula merancang untuk meringankan sekatan ke atas rakyat mereka.

Dalam tempoh antara Januari 2009 hingga Ogos 2010, seramai 1.6 juta penduduk dunia telah dijangkiti H1N1 dengan 18,449 kematian.

Sumber: Independent.uk, Metro UK

Amira

Love yourself.