Siakap Keli
Gambar: KKM/BERNAMA

KKM Kongsi Tujuh Rahsia Kurus Tanpa Berlapar

KUALA LUMPUR, 14 April  — “Pastikan separuh daripada pinggan anda adalah sayur dan buah” dan “kunyah makanan anda lebih lama”.

Itu antara tujuh rahsia kurus tanpa berlapar yang dikongsi menerusi infografik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KKM mengambil peluang berkongsi tip mengawal berat badan dengan amalan pemakanan sihat itu di laman rasmi Facebook dan Twitter rasmi @KKMPutrajaya hari ini.

Selain berkongsi tip yang boleh mula diamalkan sepanjang tempoh PKP, perkongsian itu turut menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan tip pemakanan sihat daripada Bahagian Pemakanan KKM di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Rata-rata pengguna media sosial menerima baik saranan dan cadangan itu, termasuk pengguna Twitter @akira_nagasaki dalam ciapanya: “Thanks KKM macam tau-tau pula sejak PKP ni ramai naik berat badan”.

Sufinah Dahari pula berkongsi di ruangan komen Facebook KKM: “pesanan yang tepat sekali kerana asyik makan” manakala Yana Mahat berkata: “semoga semua kekal cergas di rumah…amalkan gaya hidup sihat”.

Selain berkongsi perkembangan semasa COVID-19, laman sosial rasmi KKM turut berkongsi tip amalan gaya hidup sihat untuk diamalkan sepanjang tempoh PKP termasuk latihan litar untuk senaman di rumah serta saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar tidak meminum arak.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd