Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

15 Lelaki Pakistan Didakwa Ingkar PKP, Keluar Beramai-Ramai Untuk Makan, Solat Berjemaah

Kuala Lumpur: Sejumlah 15 lelaki rakyat Pakistan yang bekerja di sebuah restoran hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar beramai-ramai untuk makan dan solat berjemaah.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mereka didakwa bergerak dari rumah kedai tingkat dua berdekatan Hotel Lucky di sini ke sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah pada 9 malam 4 April lepas, yang merupakan kawasan jangkitan, tanpa sebab munasabah.

Semasa ditahan pihak berkuasa, mereka memberi alasan keluar rumah untuk makan dan solat berjemaah.

Mereka berdepan pertuduhan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)  2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lapan daripada mereka, yang berdepan pertuduhan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini, mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Empat lagi tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam P. Muniswer.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang ikat jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun.

Di mahkamah sama, empat rakan masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah ingkar PKP dengan berhimpun di luar gerai makan sambil bermain ‘game’ di telefon pintar di Ampang Ulu Kelang pada 1.20 pagi 15 April.

Mereka ialah Amir Muazzam Ahmad Kamal dan Mohd Farid Redza Ahmad Fairuz, kedua-duanya berusia 23 tahun, Muhamad Ammar Faris Muhamad serta Muhammad Zaid Afiq Mohamad Nizar, yang masing-masing berusia 22 tahun.

Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Terdahulu, Wan Ahmad Hakimi memohon agar kesemua tertuduh dihukum penjara kerana mereka sepatutnya memahami bahawa PKP telah masuk fasa ketiga dan tiada alasan munasabah untuk mereka keluar rumah pada 1 pagi.

Empat rakan itu, yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, merayu dikenakan denda kerana ini merupakan kesalahan pertama mereka.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.