Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

62 Individu Di Kuala Lumpur Dihadapkan Ke Mahkamah Ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 15 April  — Seramai  62 individu dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada yang kenakan hukuman penjara dan didenda.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, empat rakan masing-masing didenda RM1,000 atau penjara  sebulan, selepas mengaku bersalah berhimpun di luar gerai makan, sambil bermain ‘game’ di telefon pintar di  Ampang Ulu Kelang, pukul 1.20 pagi tadi (15 April).

Mereka ialah Amir Muazzam Ahmad Kamal dan Mohd Farid Redza Ahmad Fairuz masing-masing berumur 23 tahun, manakala Muhamad Ammar Faris Muhamad dan Muhammad Zaid Afiq Mohamad Nizar berusia 22 tahun. Kesemua mereka membayar denda itu.

Sementara itu 28 orang berumur antara 20 hingga 37 tahun termasuk seorang wanita, antaranya dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM1,000 atau penjara sebulan, selepas mengaku bersalah melanggar PKP dengan memberi alasan bermain permainan ‘mobile legend’, membeli makanan, menjawab panggilan telefon, berkumpul, dan merayau di tepi jalan.

Kesemua mereka melakukan kesalahan tersebut di sekitar Kuala Lumpur, dari 9 hingga 14 April lepas.

Seramai 15 lelaki warganegara Pakistan berusia antara 23 dan 37 tahun yang bekerja di sebuah restoran pula, mengaku tidak bersalah melanggar PKP dengan keluar beramai-ramai untuk makan dan solat berjemaah.

Mereka didakwa bersama-sama bergerak dari rumah kedai tingkat dua berdekatan Lucky Hotel di sini, ke sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, pukul 9 malam, 4 April lepas.

Di Mahkamah Selayang, tujuh lelaki, K.Siva Nesan, 32; M.Sivasangkar, 35; S. Sarveswaran, 28; R.Kesavan, 38; N. Linkkan, 28; B. Maheswaran, 28; dan R.Murali, 31; didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan, kerana berhimpun di dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu, selepas mereka mengaku bersalah berada di halaman rumah di Jalan SJ 3 Kampung Sungai Bakau, Rawang, Gombak di sini pada 5.50 petang, 12 April lepas.

Mereka ditahan berikutan aduan daripada orang awam yang menyatakan terdapat individu yang berkumpul sambil minum minuman keras, di kawasan tersebut.

Seorang lagi, Saiful Zaharin Salama, 34, juga didenda jumlah sama atas kesalahan bergerak ke satu kawasan lain, iaitu ke sebuah rumah di Jalan Desa 5/2 Bandar Country Homes, Rawang, Gombak di sini pada 10.30 pagi, 12 April lepas.

Di Mahkamah Majistret Ampang, tujuh individu termasuk seorang lelaki warganegara Pakistan dan India mengaku bersalah ingkar PKP dengan bergerak dari satu kawasan jangkitan ke tempat jangkitan lain.

Tertuduh warganegara Pakistan dan India, Waqas Nawaz, 34, serta Mohamad Rashid, 31, dihukum penjara sebulan, manakala lima lagi, Muhammad Rizuwan Mohamed Mydin, 30, Azrol Izham Shaari, 21,  P. Santoshi Kalanethi, 20, Mastafa Fitri Masjuri, 21, Mohamad Rizzuan Buang, 20, didenda RM800 atau penjara satu bulan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah restoran di Taman Cempaka, Ampang di sini pada 1.10 pagi, 7 April lepas.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai kanan polis bersama pasukannya  melakukan tugas rondaan di premis berkenaan mendapati, restoran tersebut masih beroperasi dan menjalankan perniagaan sehingga pukul 1 pagi dalam tempoh PKP.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd