Siakap Keli

Covid-19: Jom Bantu Frontliner Kita

Ketika ini, sebahagian besar kita melakukan aktiviti kerja dari rumah atau mengekalkan jarak sosial berikutan penularan pandemik Covid-19. Namun, petugas barisan hadapan pula berhempas pulas memerah tenaga untuk memastikan negara tercinta ini dan rakyat yang terjejas kembali pulih.

Frontliner kita melakukan pengorbanan yang cukup besar termasuk mempertaruhkan nyawa mereka dan juga masa bersama keluarga demi memerangi penularan wabak pandemik ini. Memandangkan bilangan kes meningkat, bekalan peralatan perubatan dan peralatan perlindungan (PPE) semakin berkurangan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah melalui sidang media yang berlangsung semalam, PPE yang ada pada masa ini hanya mampu bertahan sekitar dua minggu.

Dalam membantu frontliner kita, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) serta syarikat platform ‘Crowdfunding’ tempatan telah melancarkan kutipan dana bantuan bagi membantu mempersiapkan kelengkapan keselamatan untuk petugas barisan hadapan negara.

Melalui kutipan dana ini, MDEC menyasarkan 200,000 unit sarung PPE/ICU, 2 juta helai penutup mulut & hidung 3 lapis, 20,000 unit pakaian ruang udara, 100,000 penghadang muka dan lain-lain keperluan perubatan untuk petugas barisan hadapan.

Untuk memberikan sumbangan, klik https://bit.ly/2ya9QdB . Bagi sumbangan RM500 ke atas untuk kempen ini akan diberikan resit untuk pengecualian cukai..Terima kasih.

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu