Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: Kes Positif Turun Kepada Dua Angka Selepas Hampir Sebulan PKP

Selepas hampir sebulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes positif harian COVID-19 menurun kepada dua angka iaitu 85 kes berbanding tiga angka pada hari-hari sebelumnya.

Malah, jumlah kes pulih harian adalah 169 kes, dua kali ganda lebih tinggi berbanding kes baharu yang direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 169 kes pulih itu menjadikan jumlah kumulatif terkini kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan didiscaj daripada wad adalah sebanyak 2,647 kes (52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga 12 tengah hari, terdapat 85 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,072 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,342 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan satu kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di negara ini adalah 83 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya kematian ke-83 (kes ke-4988) merupakan lelaki tempatan berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 6.41 pagi tadi,” katanya yang turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa tersebut.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 32 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right