Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Jadikan Mangga Harum Manis Hadiah Kepada Petugas Barisan Hadapan Dipuji – Raja Muda Perlis

KANGAR, 15 April — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memuji inisiatif Jabatan Pertanian Negeri Perlis yang menjadikan mangga harum manis sebagai ‘buah tangan’, simbolik tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara ketika menangani pandemik COVID-19.

Justeru, baginda bertitah, mereka yang berminat dan ingin melahirkan hasrat  sedemikian boleh membuat pembelian buah yang menjadi ikon negeri Perlis ini secara dalam talian dan akan dihantar terus oleh para pembekal melalui perkhidmatan pos atau kurier ke mana-mana lokasi di Semenanjung Malaysia sempena musim harum manis Perlis yang baru sahaja bermula hingga Jun ini.

“Selain pembelian buah sedia dimakan, hamper korporat harum manis Perlis bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri juga mendapat sambutan menggalakkan sejak beberapa tahun ini,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap lebih banyak produk hiliran daripada mangga harum manis Perlis dapat dihasilkan dan ditingkatkan melalui kerjasama institusi pengajian tinggi tempatan, selain produk sedia ada seperti teh uncang, teh kiub, jus botanikal, salap serta pelbagai produk sedia dimakan seperti pulut mangga, ais krim, dadih, kuih seri muka dan sebagainya.

“Kerjasama berterusan antara jabatan dan agensi kerajaan serta badan-badan swasta dalam menjadikan mangga harum manis Perlis ini sebagai menu sampingan semasa tiba musimnya sama ada bagi aktiviti mesyuarat, majlis atau program-program yang dianjurkan, begitu juga menjadikan harum manis Perlis sebagai cenderahati istimewa kepada orang tersayang amatlah dialu-alukan,” titah baginda.

Baginda bertitah pemasaran mangga harum manis Perlis juga perlu digiatkan lagi dengan mewujudkan jalinan promosi berkesan termasuklah jualan di negara luar melalui kerjasama dengan pemasar tempatan dan  luar negara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam kenyataan itu turut mendoakan agar pandemik COVID-19 akan segera diatasi dan Perlis dapat menumpukan usaha peningkatan serta pemasaran mangga harum manis yang menjadi ikon utama negeri ini.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story