Siakap Keli

Penganggur Ugut Kenalan Guna Parang Dihukum Penjara Empat Bulan

KUALA LUMPUR, 15 April  —  Akibat mengugut rakannya menggunakan sebilah parang  semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang penganggur dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni memerintahkan Saiful Zaharin Salama, 34, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu, menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 12 April.

Dia didakwa mengugut untuk menyerang seorang tukang kayu, Kamal Salim, 56, dengan sebilah parang berukuran 68 sentimeter di sebuah rumah di Jalan Desa 5/2 Bandar Country Homes, Rawang pada 10.30 pagi 12 April lepas.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaharin juga dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku ingkar PKP iaitu dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni manakala tertuduh diwakili peguam M.Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Di Mahkamah Sesyen pula, Saiful Zaharin mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah parang berukuran 68 sentimeter panjang tanpa kebenaran sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di parkir kereta di Bandar Country Homes, Rawang pada 11.30 pagi 12 April lepas mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan Saiful Zaharin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 4 Jun untuk menjatuhkan hukuman terhadap Saiful Zaharin.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul