Siakap Keli

Antara 4 Perkara Perlu Disediakan Sekiranya Dijangkiti Covid-19 Pada Masa Akan Datang

Pasti ramai diantara kita yang tidak dapat membayangkan sekiranya diri dijangkiti dengan virus maut Covid-19 yang telah membunuh ratusan ribu nyawa di seluruh dunia pada ketika ini.

Justeru daripada itu, pasti ada yang tertanya-tanya tentang apakah persediaan yang perlu dilakukan sekiranya diri dijangkiti dengan virus tersebut.

Portal Hello Doktor ada berkongsikan tentang 4 perkara yang perlu disediakan sekiranya diri dijangkiti sebagai langkah persediaan menghadapainya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti artikel ini seperti berikut:

Jika anda mematuhi perintah kawalan pergerakan, amal jarak sosial dan kerap membasuh tangan, tahniah, anda merupakan penyumbang kepada usaha negara untuk menghentikan penularan wabak.

Namun, tidak dapat dinafikan langkah tersebut, walaupun penting untuk dilaksanakan, tapi tidak mencukupi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi wabak virus korona baharu (COVID-19).

Tiada jaminan 100% yang anda akan terhindar daripada jangkitan wabak COVID-19.

Jika anda disahkan positif kelak, anda memerlukan pelan tindakan kecemasan peribadi (pelan COVID-19) bagi memastikan urusan anda tetap berjalan dengan lancar.

Mengapa perlu pelan COVID-19 peribadi?

Sama seperti konsep belajar sebelum peperiksaan, perancangan pelan COVID-19 yang dibuat awal boleh mengelakkan keresahan hati sepanjang kita berada dalam situasi wabak.

Menurut Dr Cynthia M Stonnington, Pengerusi Psikologi dan Psikiatri di Mayo Clinic, langkah membuat perancangan awal merupakan satu tindakan yang bijak.

Ia boleh memberikan perspektif kepada individu berkenaan dengan perkara yang boleh dikawal dan perkara yang tidak boleh dikawal.

Jika anda merancang untuk memikirkan langkah seterusnya hanya setelah anda dijangkiti oleh virus, keputusan yang dibuat boleh dipengaruhi oleh emosi.

Ahli keluarga yang lain mungkin tidak dapat memikirkan tindakan yang perlu mereka ambil. 

Penyelesaian kepada dilema tersebut adalah dengan membuat perancangan pelan COVID-19 lebih awal. 

Pastikan anda tahu berkenaan dengan simptom teruk jangkitan COVID-19

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kebanyakan individu yang dijangkiti oleh virus korona baharu mengalami simptom ringan yang boleh dirawat di rumah.

Namun, apabila kita mahu membuat pelan COVID-19 lebih awal, anda perlu memikirkan berkenaan dengan simptom teruk jangkitan wabak.

Mereka yang dijangkiti boleh menunjukkan gejala seperti berikut:

  1. Demam panas
  2. Batuk
  3. Selesema
  4. Sakit kepala
  5. Sesak nafas
  6. Loya
  7. Muntah
  8. Cirit birit

Mereka yang mengalami simptom teruk pula boleh menunjukkan gejala seperti berikut:

  1. Sakit pada bahagian dada
  2. Bibir atau muka menjadi biru
  3. Kekeliruan mental
  4. Pengsan
  5. Sukar bernafas

Anda perlu mengetahui simptom teruk bagi mengetahui bila masa yang sesuai untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital.

Oleh sebab kebanyakan kes di hospital merupakan kes COVID-19 teruk, maka tempat tersebut perlu dielakkan selagi mana anda tidak mempunyai gejala teruk. 

Perkara ini perlu dimasukkan dalam pelan COVID-19 anda.

Sekiranya anda ragu dan mengesyaki diri anda dijangkiti, hubungi segera talian pertanyaan COVID-19 dan kuarantinkan diri.

Intipati pelan COVID-19 anda

Seperti pelan tindakan kecemasan yang lain, penghasilan pelan COVID-19 boleh dibuat berdasarkan kepada 3 langkah utama:

  1. Perbincangan berkenaan dengan intipati pelan COVID-19.
  2. Pemberian tugas kepada ahli keluarga yang terlibat; siapa perlu menghubungi kecemasan dan siapa perlu menjaga pesakit.
  3. Jika perlu, buat demonstrasi bagaimana situasi tersebut perlu dilaksanakan.

Pastikan anda menulis atau mencetak pelan tersebut. Gantungkan di mana-mana sudut rumah supaya ia mudah diakses. 

Jangan simpan pelan COVID-19 di dalam telefon/komputer bagi mengelakkan masalah jika berlaku bekalan elektrik terputus atau kehabisan bateri telefon.

Ini intipati pelan COVID-19 anda.

1. Bawa dokumen berkaitan sejarah kesihatan anda

Tiada siapa yang boleh teka akan mengalami simptom teruk. Apabila berlakunya keadaan tersebut anda mungkin akan mengalami kekeliruan mental.

Akibatnya, keluarga anda terpaksa memberitahu sejarah perubatan anda. Mereka mungkin terlepas pandang beberapa perkara seperti alergi dan sebagainya.

Oleh itu, penting untuk membawa kertas yang melampirkan sejarah perubatan anda ke mana sahaja anda berada. 

Intipati pelan COVID-19 pertama ini lebih memfokuskan keadaan di mana anda tiba-tiba rebah pada kawasan yang tiada siapa mengenali anda.

Sejarah kesihatan yang ditulis di atas sehelai kertas boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam dompet.

Tulis berkenaan dengan senarai ubat dan dos, sejarah alergi, kontak rapat jika anda. 

Jika anda meletakkan dokumen tersebut di rumah, pastikan ahli keluarga anda tahu di mana lokasinya. 

Jika berlaku kecemasan, mereka boleh membawa dokumen tersebut dan menyerahkannya kepada pegawai kesihatan yang merawat.

2. Perkuatkan sistem sokongan sosial dengan individu lain 

Jika anda masih bujang, pastikan anda menghubungi rakan terdekat anda untuk meminta bantuan.

Pelan COVID-19 kedua lebih memfokuskan kepada aspek sokongan sosial. Buat kumpulan maya di aplikasi Whatsapp dan sebagainya.

Pastikan jarak tempat tinggal ahli kumpulan tidak jauh dan jika berlaku sebarang kecemasan, anda atau rakan anda boleh tampil memberikan dokumen berkaitan.

Berikan kunci pendua kepada mereka dan beritahu lokasi spesifik dokumen yang telah anda sediakan.

Jika anda atau ahli kumpulan lain sakit, agihkan tugas, siapa yang akan memberitahu keluarga, siapa yang akan membelikan makanan dan sebagainya.

Kerjasama di antara ahli sememangnya penting bagi mengharungi wabak virus korona baharu.

3. Rekodkan keperluan keluarga di dalam pelan COVID-19 anda 

Jika anda mempunyai anak kecil, amat penting untuk anda mempertimbangkan siapa yang boleh tolong untuk menjaga mereka semasa anda sedang sakit.

Walaupun kadangkala tindakan isolasi akan dibuat di rumah, kontak rapat di antara ahli keluarga harus diminimumkan.

Ini bermakna, anda tidak dapat menjaga keluarga anda seperti ketika anda sihat.

Tulis juga di dalam pelan COVID-19 anda berkenaan dengan keperluan haiwan peliharaan anda sekiranya anda mempunyai kucing atau anjing.

Minta tolong daripada jiran atau ahli kumpulan anda dan berikan mereka kunci rumah sekiranya perlu. 

4. Buat pelan COVID-19 tambahan sekiranya anda ada penyakit kronik

Jika anda mempunyai penyakit kronik, mungkin sukar untuk mendapatkan bekalan ubat di klinik kerajaan atau hospital pada waktu ini.

Anda perlu menelefon pihak terlibat dan dapatkan maklumat berkenaan dengan perubahan perkhidmatan tersebut.

Tanya berkenaan dengan simptom dan perkara yang perlu anda jaga sekiranya bekalan ubat atau perkhidmatan perubatan diberhentikan sementara waktu.

Konklusi

Persiapan awal dapat menyediakan anda menghadapi wabak virus korona baharu yang semakin agresif saban hari.

Di Malaysia, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga hujung April 2020 bagi melindungi rakyat daripada ancaman wabak COVID-19.

Jika anda masih belum menulis pelan COVID-19 anda sendiri, mulakannya sekarang.

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right