Siakap Keli
Kredit: Natipah Abu

Hanya Pakai Baju Lusuh, Ibu Tunggal Besarkan Dua Anak OKU Perlukan Bantuan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Biarpun membesarkan dua orang anak kelainan upaya (OKU) seorang diri, Gomathy tetap positif mengharungi ujian hidup. Ibu tunggal yang diceraikan tujuh tahun lalu ini melakukan pelbagai pekerjaan sampingan untuk menampung hidup bersama anak-anaknya.

Dua orang anaknya iaitu Darshini, 16 dan Thiviyan, 11 tahun masing-masing mempunyai keperluan khas. Darshini mempunyai masalah lembam manakala adiknya mengalami cerebral palsy.

Kisah mereka dikongsikan Natipah Abu di laman Facebook miliknya.

Guna Kancil tua cari pendapatan

Buat masa ini, keluarga ini masih tinggal percuma di rumah milik bekas suami namun dua tahun lagi, mereka harus mengosongkan rumah itu seperti yang telah diputuskan mahkamah termaktub dalam frasa penceraian pasangan itu.

Gomathy berjimat-cermat membesarkan anak-anak. Selain wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mujurlah dia ada sebuah kereta Kancil yang sudah tua. Dengan kereta tua itulah, dia mengambil upah meghantar dan mengambil anak-anak jiran tetangga di sekolah.

Walaupun tidak secara tetap, tetapi dia khidmatnya akan dipanggil bila mereka memerlukan sebagai pendapatan sampingan.

Sungguhpun kedua anaknya OKU, dia tetap cuba memberikan pendidikan terbaik. Darshini dihantar ke sekolah menengah beraliran pendidikan khas.

Thiviyan pula dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan harapan anak itu dapat menjalani fisioterapi dan mampu meningkatkan tahap keupayaan diri walau tidaklah seperti anak-anak normal yang lain.

Bagaimanapun, sehingga hari ini setelah 6 tahun di PDK, Thiviyian tetap belum menunjukkan apa-apa perkembangan. Thiviyan perlu disokong dan dibantu sepenuhnya oleh ibu. Bahkan untuk bercakap sepatah pun atau memanggilnya “emak” pun, Thiviyan tidak berupaya.

Bahagia berulang alik ke PDK

Pun begitu, Gomathy yang sangat fasih berbahasa Kebangsaan ini, tetap tidak berputus asa.

Baginya, biarpun belum ada perubahan, dia bahagia berulang-alik ke PDK. Di sana Thiviyian ada kawan dan dia juga dapat berkongsi rasa hati dengan ibu-ibu yang senasib dengannya.

Sebelum ini, Thiviyan ada menerima peruntukan untuk membuat kerusi roda khas. Tetapi ibunya menolak. Baginya, kerusi roda khas itu terlalu besar. Tidak muat pun untuk kereta kancilnya sedangkan dia perlu ke sana-sini menguruskan anak-anak dan anak jiran-jirannya sekolah.

Daripada membazir wang kerajaan, dia menolak terus. Baginya, cukuplah kalau ada sebuah kereta sorong bayi untuk Thiviyan walaupun yang sudah terpakai.

Kasihan Thiviyan.. Walaupun dia anak lelaki, terpaksa dipakaikan dengan baju lama kepunyaan kakaknya yang sudah lusuh dan koyak kerana ibu perlu berjimat cermat untuk mengisi perut mereka anak-beranak.

Kita anak Malaysia. Bagi yang berhajat ingin menggantikan baju lusuh Thiviyan ini, boleh pm Kak Pah.

Sumber: Natipah Abu

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.