Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Kerajaan Jaga Kebajikan Orang Asli Ketika Tempoh PKP – Tok Batin

ALOR GAJAH, 16 April — Tok Batin Ripin Hamid dan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Sebang di sini meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan tanggungjawab berkesan apabila menjaga kebajikan masyarakat itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ripin, 70, berkata pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta agensi kerajaan negeri telah memberikan pelbagai bantuan antaranya barang keperluan harian bagi meringankan beban penduduk kampung itu serta kampung sekitar.

Beliau bersama penduduk kampung menyara keluarga dengan menoreh getah, namun PKP sedikit sebanyak mengekang mereka untuk menoreh serta menjual hasil getah, selain harga getah kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini agak menyukarkan kehidupan harian mereka.

“Tetapi kerajaan tidak biar kita sendiri hadapi ini, banyak yang datang bantu kita. Ada selepas itu tanya saya sebagai Tok Batin apa lagi perlu seperti susu untuk anak-anak juga perlu, itu juga akan diberikan. Kami amat terima kasih kepada kerajaan,” katanya yang mempunyai tiga anak itu kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama penduduk kampung itu menerima bantuan keperluan Tabung Musa’adah  COVID-19 daripada Jakim disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Rogayah Anon, 52, berkata bantuan diberikan kerajaan menerusi pelbagai agensi itu terutama barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak dan susu tepung kanak-kanak itu amat membantu penduduk kampung yang kurang berkemampuan sepertinya.

“Orang bandar tengok barang dalam satu plastik itu nampak biasa atau sikit sahaja, tetapi bagi kami amat besar nilainya. Barang ini saya kumpul dahulu dan jimat gunakan supaya cukup terutama ketika kita hendak puasa tidak lama lagi ini, kita tidak boleh membazir kena gunakan sebaiknya,” katanya.

Pendakwah Jakim, Md Sabran Sidek, berkata selain agensi kerajaan persekutuan, agensi kerajaan negeri seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengambil berat tentang kebajikan masyarakat Orang Asli dan semua agensi kerajaan sentiasa memastikan masyarakat itu tidak terkesan dengan PKP serta COVID-19.

“Mereka tidak dapat keluar bekerja jadi bantuan ini sedikit sebanyak ringankan beban mereka. MAIM juga memberikan bantuan setiap bulan kepada mereka, JAKOA juga ada memberi kepada mereka, dengan bantuan-bantuan diberikan ini barang keperluan mereka mencukupi,” katanya.

Beliau berkata bantuan Jakim hari ini diberikan kepada 44 ketua isi rumah Orang Asli di sini berupa barang keperluan harian bernilai RM50 dan wang tunai RM100.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd