Siakap Keli

PKP: Rakyat Semakin Menerima Norma ‘Kehidupan Baharu’

KUALA LUMPUR, 16 April – Malaysia kini berada dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Ketika fasa pertama PKP bermula iaitu pada 18 Mac hingga 31 Mac lepas, ramai yang berkongsi di media sosial tentang rasa kurang selesa, bosan, rimas dan seolah-olah ‘mati akal’ apabila secara tiba-tiba arahan dikeluarkan untuk semua supaya “duduk di rumah”, “stay at home”!

Ramai juga yang merungut kerana perlu berhadapan dengan perubahan drastik ‘corak kehidupan baru’ ini.

Antaranya, termasuklah mereka yang perlu bekerja dari rumah bahkan ‘menghadiri’ mesyuarat secara dalam talian.

Pelajar sekolah dan penuntut universiti juga tidak ketinggalan perlu mengikuti kelas secara e-pembelajaran atau pembelajaran elektronik yang dikendalikan oleh tenaga pengajar masing-masing.

Bukan itu sahaja, disebabkan PKP dan kerisauan dijangkiti wabak COVID-19, ramai yang hanya ‘terperuk’ di dalam rumah dan langsung tidak keluar selain melakukan pembelian makanan dan barang-barang keperluan lain secara dalam talian atau menggunakan khidmat runner.

PROSES SESUAIKAN DIRI

Kini selepas hampir sebulan melalui PKP, adakah rakyat semakin menerima dan lebih selesa mengadaptasi perubahan ini?

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Ahmad Shamsuri bin Muhamad berkata rakyat dijangka akan lebih memahami dan bersedia untuk melalui PKP fasa ketiga berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Awal-awal PKP dilaksanakan kebanyakan rakyat masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Ketika itu mungkin ramai yang berhadapan masalah untuk mengurus masa, keadaan diri, cara kerja dan belajar serta pelbagai lagi perkara.

“Ianya adalah sesuatu yang normal kerana penyesuaian diri terhadap sesuatu yang baharu sememangnya memerlukan tempoh masa dan ia juga bergantung kepada tahap penerimaan seseorang individu.

“Namun begitu, proses penyesuaian ini bersifat berterusan dan lama-kelamaan, sedikit demi sedikit majoriti rakyat akan dapat menerima sekaligus lebih memahami keperluan PKP ini dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.

HOBI BAHARU

Mengulas lanjut, Ahmad Shamsuri berkata sebelum ini mungkin ada golongan yang mengeluh kerana tidak biasa bekerja dari rumah antaranya termasuklah golongan ibu berkerjaya yang berhadapan kesukaran mengurus masa antara kerja pejabat dan tanggungjawab menguruskan anak-anak.

Bagi golongan extrovert (suka bergaul dan bersosial) pula sebagai contoh, arahan PKP termasuk penjarakan sosial pastinya sesuatu yang amat bertentangan dengan norma kehidupan mereka.

“Tempoh sebulan PKP tanpa disedari turut menambah ‘coping skill’ individu untuk beradaptasi dengan situasi baharu. Mereka yang bekerja dari rumah menjadi semakin positif, ibu-ibu sudah menyusun jadual bekerja, mengajar dan bermain dengan anak-anak.

“Rakyat juga mungkin sudah ada yang mendapat hobi baru seperti mencuba pelbagai resipi masakan, bercucuk tanam dan menghias rumah. Jika sebelum ini ada yang berhadapan kesukaran menggunakan aplikasi tertentu seperti Skype dan Zoom, tidak mustahil akan menjadi semakin mahir kerana tuntutan keadaan membuatkan mereka ‘terpaksa’ tahu,” katanya.

Menurut Ahmad Shamsuri, setiap rakyat di negara ini perlu memanfaatkan peluang disebalik cabaran krisis ini.

Beliau menambah, meneroka perkara baharu, lebih-lebih lagi yang berkaitan teknologi terkini dapat membantu meningkatkan kemahiran diri, mengurangkan jurang digital dalam masyarakat sekaligus menjadikan diri lebih cekap dan kehadapan.

PERANAN KERAJAAN

Ahmad Shamsuri pada masa yang sama turut menambah, inisiatif kerajaan mengadakan pengumuman berhubung beberapa perkara sepanjang krisis COVID-19, turut menyumbang kepada kesediaan rakyat untuk sama-sama ‘berjuang dan berkorban’ mengharungi situasi ini.

Penerangan dan penjelasan antaranya daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melalui sidang media yang dijalankan, banyak membantu meningkatkan kefahaman rakyat berhubung keadaan semasa yang sedang dilalui negara.

“Insya-Allah, secara perlahan-lahan rakyat juga akan dapat menerima hakikat termasuk untuk perkara yang lebih besar yang perlu dikorbankan seperti kemungkinan tiada Bazar Ramadan dan Solat Tarawih berjemaah di masjid pada tahun ini berikutan usaha mengekang penularan pandemik ini,” katanya.

Beliau turut menambah, dalam tempoh ketidaktentuan pandemik ini, setiap anggota masyarakat perlu bertenang, mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak terlalu memikirkan sesuatu yang di luar kawalan mereka.

“Terlalu berfikir mengenai perkara yang tidak pasti akan hanya mengundang tekanan dan boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Berikanlah tumpuan kepada perkara yang berfaedah dan boleh mengurangkan ketegangan ketika berhadapan krisis COVID-19 ini,” katanya.

SEMAKIN MAHIR, TENANG

Sementara itu, bagi penuntut Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Muhammad Hareez Mohd Zaki, 23, meskipun kaedah e-pembelajaran pada mulanya agak sukar untuk diikuti ditambah pula menggunakan pelbagai platform yang berbeza, namun dari sehari ke sehari, masalah itu kini dapat diatasi.

Penuntut tahun empat Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang berasal dari Terengganu itu berkata, kaedah tersebut memerlukan beliau lebih peka dan fokus agar tidak ketinggalan mengikuti jadual yang ditetapkan pensyarah termasuk tarikh akhir penghantaran tugasan.

“Secara peribadi saya berpendapat e-pembelajaran memanglah tidak sebagus kaedah pembelajaran secara bersemuka bersama pensyarah dan rakan-rakan. Namun dalam keadaan sekarang, tidak boleh dinafikan ia banyak membantu kami meneruskan pengajian meskipun ketika kekangan PKP,” kataya sambil menambah antara aplikasi dan laman web yang digunakan termasuklah Zoom, Google Classroom, Whatsapp dan easyclass.com.

Bagi Noraznida Daud, 47, yang bekerja sebagai pegawai insurans di sebuah bank terkemuka di ibu negara, memasuki fasa ketiga PKP, beliau lebih menerima situasi yang berlaku dan lebih tenang mengatur jadual hariannya sebagai wanita berkerjaya yang perlu bekerja dari rumah.

“Mula-mula dulu kelam kabut juga dan sedikit stres bila bekerja dari rumah. Maklumlah kita perempuan lebih-lebih lagi sebagai ibu kepada empat orang cahaya mata, boleh jadi serabut dan sakit kepala bila tengok keadaan rumah tak berkemas, fikir nak masak, menyiapkan kerja dan mesyuarat melalui aplikasi Zoom.

“Emosi saya juga sebenarnya terkesan kerana amat merindui ibu dan ayah di kampung (Negeri Sembilan) kerana sebelum ini boleh dikatakan setiap minggu saya akan pulang menjenguk mereka.

“Perlahan-lahan saya cuba menerima keadaan ini. Selain suami dan anak-anak memberi sokongan moral dan membantu saya melakukan kerja rumah, adik beradik juga memainkan peranan apabila membuat panggilan video beramai-ramai yang turut disertai ibu dan ayah. Terubat sedikit rasa rindu apabila masih boleh berhubung dan melihat wajah-wajah insan tersayang,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang