Siakap Keli

(Video) Ratusan Haiwan Peliharaan Yang Didakwa Dicuri Berjaya Diselamatkan Daripada Pusat Penyembelihan Haram Di China

Ratusan haiwan peliharaan yang didakwa telah dicuri berjaya diselamatkan daripada sebuah pusat penyembelihan haram di China sementara kumpulan pencinta haiwan menggesa kerajaan untuk melarang rakyatnya daripada makan daging anjing.

Beberapa gambar yang dikirim kepada MailOnline menunjukkan anjing yang ditemui sedang dalam ketakutan, cedera dan tidak berdaya. Kesemua haiwan tersebut dipercayai dalam perjalanan menuju ke pusat penyembelihan haram di Wilayah Henan.

Aktivis sedang giat berusaha menggesa kerajaan untuk mengharamkan penjualan daging haiwan liar, termasuklah daging anjing serta kucing daripada dijadikan hidangan makanan selepas wabak pandemik Covid-19 itu tercetus di bandar Wuhan pada Disember lalu.

Sejumlah 423 anjing yang kebanyakannya haiwan peliharaan curi telah dilaporkan berjaya diselamatkan dalam operasi yang dilakukan pada 3 April, menurut organisasi amal haiwan Humane Society International (HSI).

Sepasukan penyelamat kemudiannya memindahkan 25 anjing yang paling sakit ke Beijing untuk dirawat dan dijaga oleh tempat perlindungan haiwan yang dikendalikan bersama HSI dan rakannya dari China, Vshine.

Usaha menyelamat itu dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada aktivis pencinta haiwan dan pemilik haiwan peliharaan yang kehilangan dan sedang mencari anjing mereka.

“Pemilik haiwan peliharaan itu mencari anjing mereka yang hilang, aktivis haiwan dan warganet bekerjasama untuk membantu, serta pusat penyembelihan haram ditemui, semua berita-berita ini adalah perkara yang sering dilaporkan di China,” ujar sumber dari HSI kepada MailOnline.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada anjing yang diselamatkan itu adalah anjing hilang yang sedang dicari atau tidak, namun sebahagian besar anjing yang ditemui itu difahamkan pernah bertuan,” Tambahnya.

Terdahulu, China telah mengharamkan semua perdagangan dan penggunaan daging haiwan liar dalam makanan sebagai salah satu langkah untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Dua bandar di China iaitu Shenzhen dan Zhuhai telah mengambil langkah yang lebih proaktif dan melarang penduduknya daripada memakan anjing serta kucing.

Minggu lalu, Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China telah mengecualikan anjing dalam senarai haiwan ternakan. Keputusan tersebut sekaligus  menyaksikan daging anjing yang digunakan sebagai hidangan makanan salah di sisi undang-undang.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka mengiktiraf anjing sebagai ‘peneman’ dan ‘tidak sesuai’ untuk dijadikan hidangan makanan.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa