Siakap Keli

26 Individu Ditahan Ingkar PKP, Hadir Upacara Pengebumian Rakan

SHAH ALAM, 17 April  — Polis menahan 26 lelaki warga tempatan di Taman Intan, Kapar dekat sini semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri beramai-ramai upacara pengebumian seorang rakan mereka yang meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 petang itu, pihaknya menerima maklumat mengenai upacara itu, yang dihadiri kira-kira 50 individu.

“Kumpulan terbabit telah diberi amaran berkali-kali supaya bersurai dan tidak berarak selaras dengan PKP namun terdapat beberapa orang masih berdegil. Disebabkan mereka ingkar, 26 lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan di sekitar lokasi itu.

“Siasatan mendapati si mati, seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada Rabu kerana terbabit dalam satu kemalangan jalan raya namun tiada laporan mengenai kejadian itu diterima setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Nurulhuda, bapa kepada remaja yang meninggal dunia itu berumur lingkungan 40 tahun turut ditahan kerana menganjurkan majlis mempunyai unsur gengsterisme.

Katanya, kesemua lelaki itu direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 269 dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

— BERNAMA

Nur Farra