Siakap Keli

Dua Hospital Dikenal Pasti Jadi Kluster Jangkitan COVID-19 Di Sabah- Pengarah Kesihatan Negeri

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan Hospital Keningau dikenal pasti sebagai kluster jangkitan COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah menyiasat dengan lebih terperinci mengenai jangkitan wabak tersebut dalam kalangan anggota kesihatan sejak dua minggu lalu.

“Kluster kes di HWKKS turut menyumbang kepada peningkatan kes bagi daerah Kota Kinabalu.

“Daripada 42 kes di daerah tersebut, 24 kes daripadanya melibatkan peserta perhimpunan di Sri Petaling manakala 11 kes daripada kluster kesihatan iaitu lapan (8) daripadanya bertugas di HWKKS,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya lagi, hasil siasatan awal mendapati punca jangkitan kes adalah dari luar hospital dan kemudian menjangkiti beberapa kontak sekerja.

“Siasatan juga mendapati tiada berlaku jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota memakai set alat perlindungan peribadi (PPE) semasa bertugas.

“Besar kemungkinan, jangkitan telah berlaku di luar wad kerana terdapat kes positif dalam kalangan kontak sekerja yang juga merupakan kontak serumah,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehubungan dengan itu, saringan kesihatan telah dibuat ke atas semua anggota kesihatan terlibat, termasuk kontak keluarga dan sosial, serta turut diarahkan untuk menjalani kuarantin sama ada di rumah atau di kemudahan yang disediakan JKNS.

Orang awam dinasihatkan agar tidak bimbang dengan situasi tersebut kerana JKNS sentiasa berusaha agar fasiliti kesihatan tidak menjadi pusat penularan COVID-19, serta turut memastikan perkhidmatan hospital dapat diteruskan sepert biasa.

Sumber: Jabatan Penerangan Negeri Sabah

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.